PM Tegur Pihak Yang Fobia Dengar Tentang Islam

KUALA LUMPUR: Menerima bantahan daripada beberapa pihak berkenaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi, Perdana Menteri tampil menegur mereka yang dilihat fobia setiap kali mendengar perkara mengenai Islam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tujuan beliau mencadangkan pengajaran hadis tersebut bagi meningkatkan kefahaman murid-murid Islam, dan menegaskan modul itu tidak diajar kepada bukan Islam.

“Kadang-kala bukan Islam ini pun dia macam Islamophobia. Bila dengar Islam sahaja dia fobia. Itu masalah juga.

“Tetapi apakah kita paksa bukan Islam? Tak. Adakah kita wajibkan bukan Islam baca 40 hadis? Tidak. 40 hadis ini hanya untuk pelajar-pelajar Islam.

“Kenapa kita (perkenalkan) begitu? Kerana kedangkalan ilmu jadi masalah. Kerana kedangkalan ilmulah orang boleh fitnah, boleh cerca, boleh buat hukuman suka hati,” katanya semasa sesi soal jawal dalam program Temu Anwar yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia hari ini.

Anwar berkata, untuk menjadi seorang Islam yang baik memerlukan ilmu dan pengajaran hadis berkenaan adalah salah satu daripada cara dan pendekatan yang realistik.

Katanya, tidak seharusnya membaca menjadi satu isu kerana ia mendatangkan manfaat.

“Saya baca semua terutama masa dalam penjara banyak waktu. Al-Quran, tafsir dan hadis saya baca. Kitab lama Cina saya baca. Oh, saya jadi Cina? Tidak.

“Kerana bila saya jadi pemimpin, masyarakat Cina jadi sebahagian keluarga saya.

“Kemudian India, fahaman Hindu, Buddha saya tak galakkan semua baca, tapi sebahagian kita kena faham,” tambah beliau.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 19 Ogos lalu melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

Kontroversi tercetus apabila Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah hasrat tersebut dan mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta hak kebebasan beragama.

Bagaimanapun bantahan itu kemudiannya mereda selepas KPM menjelaskan modul itu akan hanya diajar kepada murid-murid Islam.

BBerkaitan

Latest articles