PM Bidas Pembangkang Masih Main Isu Ambalat

KUALA LUMPUR: Isu berkenaan tuntutan sempadan di blok Ambalat telah dijelaskan dalam sidang Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bahkan isu yang dijawab Perdana Menteri itu sendiri turut didengari oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang yang berada di dalam sidang yang sama.

Anwar meluahkan rasa kesalnya dengan perbuatan pembangkang yang terus-menerus menabur fitnah terhadap kerajaan dalam isu perjanjian yang dimeterainya bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo, baru-baru ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyatakan bahawa blok Ambalat tidak termasuk dalam perjanjian yang dicapai bersama Jokowi.

“Di Parlimen tanya dengan baik dan kita jawab dia diam. Di luar fitnah apa dia kata kita jual maruah diri, kita tak bertanggungjawab, kita khianat kepada negara.

“Nasib baik saya Perdana Menteri, kalau saya bukan, saya lesing,” katanya ketika berucap melancarkan program Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menerusi ucapan yang sama juga, Anwar menempelak sikap pembangkang yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi masih memfitnah kerajaan dalam isu pertikaian sempadan blok Ambalat dan beberapa kawasan maritim di Sabah termasuk Pulau Sebatik.

Beliau memberitahu, pemimpin-pemimpin pembangkang gagal memberi maklumat lanjut apabila ditanya tentang ‘pakar’ yang menjadi rujukan mereka.

“Ini contoh bagaimana fakta itu ditipu oleh orang yang menggelar diri mereka ustaz, sebab itu kita rujuk kepada fakta.

“Nak pakai orang politik ini, dengar boleh, kalau nak tahu betul tak betul check fakta,” jelasnya.

Menjelaskan lebih lanjut, Anwar memberitahu bahawa kerajaan pimpinannya mengambil pendekatan menyelesaikan isu pertindihan tuntutan sempadan wilayah maritim dengan Indonesia melalui rundingan.

“Indonesia jiran kita, saya tak mahu bermusuh dengan Indonesia, jiran saling bergantungan. Malah, saya mahu tingkatkan persahabatan Malaysia dan Indonesia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles