KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk meneruskan pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memastikan krisis salah urus kewangan dan pelaburan tidak berulang.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara langkah utama dalam pindaan tersebut termasuklah memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas aktiviti pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurut beliau, langkah berkenaan diambil bagi memperketat tadbir urus dan pengawasan kewangan TH berikutan pendedahan Laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.
“Atas sebab yang sama juga, Kerajaan komited memastikan krisis ini tidak berulang.
“Selaras dengan syor RCI, Kerajaan akan menyusul dengan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan diteruskan, antaranya untuk memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti ke atas aktiviti pelaburan Tabung Haji,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika penggulungan perbahasan Laporan RCI Mengenai Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji 2014 hingga 2020 di Parlimen.
Terdahulu, Dewan Rakyat bersidang khas bagi membahaskan laporan RCI tersebut yang mendedahkan tahap kerugian kerugian akibat salah urus kewangan dan pelaburan sebelum 2018 mencecah hampir RM13 bilion.
Jumlah itu merangkumi RM10.2 bilion kerugian yang ditanggung Kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung sendiri oleh TH.
Dalam pada itu, Amir Hamzah menegaskan bahawa walaupun pindaan akta dan penambahbaikan tadbir urus akan dilaksanakan, simpanan para pendeposit kekal selamat dan terjamin.
“Keseluruhan simpanan setiap pendeposit di Tabung Haji dijamin oleh Kerajaan di bawah Seksyen 24 Akta 535, jaminan yang wujud sejak Tabung Haji ditubuhkan dan masih kekal sehingga ke hari ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai prestasi semasa TH, beliau memaklumkan kedudukan kewangan institusi berkenaan kini kembali kukuh dan stabil hasil pengorbanan bersama pelbagai pihak.
Sehingga 31 Disember 2025, jumlah aset TH mencatatkan RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion, manakala dana simpanan pendeposit meningkat kepada RM93.4 bilion berbanding RM75.4 bilion pada 2018.
Selain itu, kadar agihan keuntungan turut meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus bagi tahun 2025, membabitkan jumlah keseluruhan RM3.22 bilion.










