Perlis Masih Dalam Genggaman BN, Shahidan Silap Ramalan

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Azlan Man menyatakan bahawa parti itu dijangka kekal mentadbir negeri berkenaan selain mampu mempertahankan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, BN juga dilihat mampu merampas semula kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang di negeri itu terutama melibatkan DUN di bawah Parlimen Kangar seperti Sena, Indera Kayangan dan Kuala Perlis.

Beliau menjelaskan keyakinan itu dizahirkan selepas melihat momentum yang telah digerakkan parti itu dalam meraih sokongan masyarakat di Perlis selain gerak kerja calon-calon BN.

Tambahnya, pencapaian yang berjaya dilakukan pentadbirannya pada penggal lalu perlu dijadikan panduan terbaik kepada rakyat di negeri paling utara di Malaysia itu untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil dan makmur.

“BN akan sekurang-kurangnya mempertahankan 10 kerusi yang dimenangi dan kita sasarkan (lima) kawasan (atau DUN) yang kita kalah dahulu, kalau dalam konteks (Parlimen) Kangar, kita sasarkan Parlimen (itu sendiri) untuk kita tawan kembali.

“Kemudian di DUN Sena kita nampak perubahan positif, saya rasa Sena akan kembali (ke) Barisan Nasional, begitu juga DUN Kuala Perlis, momentum sedang dibina sekarang ini bergerak kearah yang lebih positif dan DUN Indera Kayangan satu perkembangan yang sangat menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan sesi walkabout Kampung Salang, Sena, Kangar pada Khamis.

Mengulas mengenai kemampuannya untuk mempertahankan DUN Bintong, Azlan menyatakan bahawa pengundi di kawasan itu adalah matang dan memiliki kesetian kepada parti.

Jelasnya, DUN berkenaan juga adalah merupakan kerusi tradisi yang sentiasa dimenangi BN dan menjadi kubu kuat parti itu sejak sekian lama.

“Bintong adalah kawasan tradisi BN dan UMNO, di sana pengundinya adalah pengundi matang dan setia, sebab kita dalam sejarah Bintong tak pernah kalah kecuali sekali, itu pun akibat kesilapan teknikal.

“Walaupun ramai (calon) yang bertanding di sana, saya yakin bahawa orang BN mengenali parti mereka, secara tradisi orang BN tidak lari sebab ketaatan dia, kesetian dia, tetap kekal kepada parti,” jelasnya lagi.

Semalam, Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa Barisan Nasional (BN) akan tewas di Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Malah dakwanya, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, dijangkakan akan tewas di kerusi yang ditandinginya iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong.

Untuk rekod, BN pada PRU14 menang di 10 kerusi DUN di Perlis, manakala Pakatan Harapan (tiga kerusi DUN), dan PAS (dua kerusi DUN.

BBerkaitan

Latest articles