SHAH ALAM: Pertubuhan Pewaris Malaysia (Pewaris Malaysia) menggesa seluruh anggotanya supaya terus memperkukuh ukhuwah serta mengetepikan sebarang perbezaan demi mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan negara.
Presidennya, Datuk Azha Mustaffa menegaskan bahawa kekuatan pertubuhan itu terletak pada perpaduan dan kesatuan semua ahlinya dalam bergerak ke hadapan secara tersusun.
Jelas beliau, Wawasan Ketuanan Melayu yang dibawa oleh pertubuhan itu bukanlah untuk merendahkan mana-mana bangsa lain atau menafikan hak masyarakat berbilang kaum, sebaliknya bagi melahirkan masyarakat Melayu yang berilmu, berdaya saing, berakhlak dan berpemikiran maju.
“Wawasan Ketuanan Melayu yang kita bawa bukan bermaksud untuk merendahkan bangsa lain atau menafikan hak mana-mana masyarakat.
“Sebaliknya, kita mahu melihat masyarakat Melayu berilmu, berdaya saing, berakhlak, mempunyai kekuatan ekonomi serta mampu berdiri dengan penuh keyakinan di tanah air sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Wawasan Ketuanan Melayu Pewaris Malaysia yang berlangsung di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Azha menegaskan bahawa Pewaris Malaysia mahu melahirkan generasi muda Melayu yang berpendidikan tinggi, menguasai teknologi serta berani menceburi bidang perniagaan dan kepimpinan.
“Kita mahu Melayu yang bukan sekadar bercakap tentang hak, tetapi memahami tanggungjawab. Kita mahu Melayu yang bukan hanya mengenang sejarah, tetapi mampu mencipta masa depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar perselisihan pandangan atau isu kecil tidak menjadi punca kepada perpecahan di dalam gerakan tersebut.
“Dalam sebuah gerakan pasti ada perbezaan pandangan. Namun perbezaan itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpecah.
“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan berbeza dalam tujuan. Kita boleh berbeza cara, tetapi jangan berbeza dalam perjuangan,” katanya lagi.
Tambah beliau, Pewaris Malaysia perlu menjadi sebuah gerakan yang sentiasa hidup dan dekat dalam masyarakat, bukannya hanya aktif apabila ada program atau isu tertentu semata-mata.
Sementara itu, Pengasas Tunggak Pewaris Malaysia, Datuk Ab. Malik Ranting menggesa semua ahli untuk tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjuangan dengan menyumbang tenaga, ilmu, pengalaman dan kebolehan demi mengukuhkan organisasi.
”Pewaris Malaysia bukan milik individu, sebaliknya ia adalah satu amanah yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Oleh itu, pimpinan dan ahli perlu melihat wadah ini bukan sekadar untuk hari ini, tetapi bagi tempoh 10, 20 hingga 50 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berharap semua pihak dapat mengetepikan perbezaan ideologi atau politik yang memecahbelahkan, seterusnya kembali bersatu untuk mengukuhkan perpaduan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.










