Perginya Penulis Buku Panduan Hebat “Indahnya Hidup Bersyariat”

Rumah-rumah yang ada di negara ini, pasti sebahagian besar ada buku yang ditulis oleh Allahyarham Datuk Ismail Kamus yang dianggap antara buku paling sesuai dan mesti disimpan oleh setiap orang iaitu buku “Indahnya Hidup Bersyariat”.

Buku berkenaan memaparkan modul Fardu Ain untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat untuk sepanjang hayat dengan panduan lengkap Fardu Ain bergambar.

Panduan yang menarik dan interaktif ini diterbitkan pada 2009 oleh sebuat syarikat penerbitan buku-buku dakwah dengan tema “Hidup bertakwa bermula daripada lahirnya insan ke dunia”. Ia akan membuatkan orang yang membacanya tidak bosan belajar tentang Fardu Ain kerana penghasilannya yang menarik.

Ramai orang dan ramai pendakwah lain akan memperkenalkan buku ini untuk dimiliki oleh setiap keluarga. Betapa besar pahala yang diberikan kepada Ustaz Ismail kerana menghasilkan buku ini yang akan digunakan oleh masyarakat untuk belajar tentang agama Islam sepanjang masa hidup mereka.

Panduan Fardu Ain di dalam buku ini lengkap disampaikan dengan menarik dengan ayat yang ringkas lengkap dengan gambar.

Malam tadi beliau telah pergi meninggalkan kita apabila menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya di Ampang pada pukul 12.30 tengah malam. Makluman tentang kematian beliau dimaklumkan melalui Facebook rasmi pendakwah itu.

“Dukacita dimaklumkan Tuan Guru Datuk Ismail Kamus meninggal dunia sebentar tadi. Al-Fatihah,” menurut kenyataan di Facebook itu.

Allahyarham Ustaz Ismail dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening, Ulu Selangor dan mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin di Klang.

Di sana beliau berguru dengan ulama yang amat dikenali Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Kepujian pada tahun 1976.

Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Jenazah disolatkan di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan As-Sobirin hari ini.

Ceramah beliau sering dinantikan sebelum ini kerana beliau kerap menyampaikan dakwah secara santai, ada jenaka tapi mesej dakwah yang hendak disampaikan amat jelas. Kaset rakaman ceramah beliau begitu popular dan sering dimainkan di mana-mana. – TRI

BBerkaitan

Latest articles