Perbincangan Mengenai Harga Siling Beras Putih Tempatan Masih Diteruskan – Mohamad Sabu

SERDANG: Perbincangan berhubung cadangan menaikkan harga siling beras putih (BPT) tempatan masih diteruskan dan akan mengambil masa beberapa bulan lagi sebelum mencapai keputusan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Perbincangan ini sedang berjalan dan tunggu beberapa bulan lagi, kita akan buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Tindakan Keselamatan Makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Profesor Dr Azlinda Azman, dan Naib Canselor UPM Profesor Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

November lalu, Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji semula cadangan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras untuk menaikkan harga siling beras putih tempatan bagi melindungi masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran makanan terutama pesawah.

Sementara itu, beliau berkata bekalan beras kekal stabil.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pergantungan kepada beras import, pada masa ini sekitar 38 peratus, akan memberi kesan kepada turun naik harga.

“Sekarang ini bekalan beras agak stabil, namun selagi kita masih mengimportnya, harga akan turun naik.

“Selain fenomena perubahan iklim semasa, ia adalah salah satu ancaman nyata dan serius bukan sahaja di Malaysia tetapi di mana-mana sahaja,” tambahnya.

Mohamad menambah, kementerian sentiasa memantau keadaan di Kelantan berikutan musim kemarau berpanjangan yang dijangka menjejaskan hasil pertanian.

BBerkaitan

Latest articles