Perang KKM Menentang Covid-19 Tak Terjejas Walaupun Muhyiddin Jadi PM

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan fokus Kementerian Kesihatan untuk memerangi penularan Covid-19 tidak terjejas walaupun berubah tampuk kepimpinan kerajaan.

Menyentuh pertukaran kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu, ujar Dr Noor Hisham, perdana menteri yang baru tersebut terus mengadakan perbincangan berkenaan isu kesihatan global ini pada hari pertama memulakan tugas.

“Hari pertama perdana menteri telah memanggil saya dan berbincang mengenai dua isu iaitu yang pertama mengenai rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan kedua golongan tabligh yang pulang ke kampung dan dijangkakan akan berlaku wabak di semua negeri.

“Ketika itu juga kita cuba gunakan kaedah kita dan libat urus dengan agensi lain contohnya pada 10 Mac kita maklumkan kalau boleh kita elakkan solat Jumaat kerana golongan tabligh telah pun balik ke kampung dan susulan itu negeri Perlis telah ambil tindakan tersebut dan pada 15 Mac pula kerajaan putuskan tidak ada solat Jumaat dalam tempoh dua minggu,” katanya dalam program siaran langsung Temu Minda: Di Sebalik Tabir KKM Memerangi Wabak Covid-19 bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

Dalam program yang sama, Dr Noor Hisham turut berterima kasih dengan kerajaan yang menerima saranan kerajaan dalam mengambil tindakan proaktif untuk mengawal penularan penyakit itu.

Malah beliau turut memuji langkah kerajaan mengadakan kawalan di sempadan negara sehingga akhirnya berjaya mengurangkan bilangan mereka yang dijangkiti Covid-19.

“Terima kasih kepada kepercayaan diberikan kepada penjawat awam, kerana apabila kita ada hujah yang kukuh dengan permodelan dan sebaginya, Perdana Menteri pun ambil keputusan untuk melaksanakan PKP yang pertama pada 18 Mac dan tindakan itu, walaupun negara jiran tidak laksanakan lagi dan kita adalah yang pertama dan cepat bertindak,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles