KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang berlangsung malam tadi masih belum membuat keputusan mengenai permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyertai gabungan itu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan kepimpinan gabungan tersebut masih memperhalusi permohonan keenam-enam parti termasuk PBM.
“Mesyuarat juga turut membincangkan permohonan beberapa buah parti untuk menjadi komponen BN. Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN.
“Kesemua permohonan tersebut sedang diperhalusi oleh pihak urusetia BN,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat itu berakhir jam 10 malam tadi.
Terdahulu, PBM membuat permohonan menyertai BN bagi membentuk sebuah gabungan parti baharu sebagai persediaan menghadapi PRU-15.
Sementara itu Zambry turut enggan mendedahkan lima lagi parti yang ingin menyertai BN.
“Yang pasti lebih daripada satu parti yang memohon untuk menyertai BN.
“Ia akan diuruskan oleh urusetia BN dahulu dan bila sampai waktunya akan diumumkan nanti,” jelas Zambry menjawab soalan bila keputusan mengenainya akan diumumkan.
Dalam mesyuarat itu juga, Zambry berkata, persiapan gabungan itu bagi menghadapi PRU-15 juga dibincangkan.
“Dewan Tertinggi BN turut berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan yang sedang dijalankan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seluruh negara,” jelasnya lagi.