Penumpang E-hailing Warga Asing Maut Dirempuh Kereta Dipandu Pegawai Tentera

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tentera ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan maut di Lebuhraya MEX, awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 5.38 pagi itu, kenderaan jenis Ford Fiesta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berdepan dengan sebuah MPV e-hailing jenis Perodua Alza.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan, MPV berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun dan membawa dua penumpang warga Bangladesh yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Akibat perlanggaran itu, seorang penumpang lelaki berusia 22 tahun yang duduk di bahagian tengah kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Seorang lagi penumpang wanita warga Bangladesh berusia 20 tahun mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Pemandu MPV turut cedera di kepala, manakala pemandu Ford Fiesta hanya mengalami kecederaan ringan.

Turut cedera dalam kemalangan itu ialah seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang merupakan penumpang dalam Ford Fiesta, dan kini menerima rawatan di hospital sama.

Hasil ujian pernafasan mendapati pemandu Ford Fiesta berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing didapati negatif.

Susulan itu, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles