BATU PAHAT: Kerajaan akan terus memperkukuh kedudukan pekebun kecil kelapa sawit menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), bantuan tanam semula dan pembangunan infrastruktur ladang bagi memastikan industri sawit negara kekal mampan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, golongan pekebun kecil memainkan peranan penting sebagai tunjang kepada pembangunan industri sawit negara selain menjadi penyumbang utama kepada ekonomi luar bandar dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Kelapa Sawit Daerah Batu Pahat yang berlangsung di Dewan Peladang Sri Medan, hari ini.
Menurut Noraini, landskap ekonomi global yang berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan dunia menjadikan sektor sawit semakin penting sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, industri berkenaan bukan sahaja menjana pendapatan rakyat, malah turut menyumbang kepada aspek keselamatan makanan dan tenaga negara.
“MSPO bukan sekadar sijil pengiktirafan, sebaliknya mencerminkan komitmen Malaysia dalam memastikan pengeluaran minyak sawit dilaksanakan secara mampan, bertanggungjawab dan memenuhi kehendak pasaran antarabangsa.
“Pensijilan ini juga menjadi instrumen penting untuk mempertahankan kredibiliti industri sawit negara daripada pelbagai tuduhan serta persepsi negatif yang tidak berasas,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Johor terus menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila lebih 54,000 pekebun kecil telah memperoleh pensijilan MSPO, manakala lebih 16,000 daripadanya melibatkan pekebun kecil di daerah Batu Pahat.
Bagi meningkatkan produktiviti dan hasil kebun, kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0, khidmat nasihat TUNAS, program kawalan penyakit tanaman serta pelaksanaan amalan pertanian terbaik.
Di Batu Pahat, sebanyak 222 permohonan di bawah TSPKS 2.0 telah diluluskan melibatkan kawasan tanaman melebihi 430 hektar.
Selain itu, sembilan projek Jalan Ladang Pekebun Kecil turut mendapat kelulusan dengan nilai peruntukan melebihi RM1.8 juta bagi memudahkan urusan pengangkutan hasil serta meningkatkan kecekapan operasi pekebun kecil.
Sebagai Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini turut merakamkan penghargaan kepada komuniti pekebun kecil di Batu Pahat yang disifatkan sebagai antara penyumbang penting kepada kemajuan industri sawit negara.
Beliau menegaskan kerajaan komited memastikan tiada pekebun kecil yang tercicir daripada arus pembangunan sektor agrikomoditi.
“Kita mahu pekebun kecil terus berkembang, meningkatkan produktiviti dan menikmati pendapatan yang lebih baik. Apabila mereka berjaya, ekonomi tempatan turut berkembang dan industri sawit negara akan menjadi semakin kukuh,” katanya.
Program anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama Majlis Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pensijilan MSPO dalam kalangan pekebun kecil, selain mengiktiraf kejayaan mereka yang telah memperoleh pensijilan berkenaan.










