KUALA LUMPUR: Media perlu lebih memahami peraturan dan perjalanan persidangan Parlimen bagi membolehkan laporan dibuat secara lebih menyeluruh sekali gus menyampaikan mesej yang tepat kepada masyarakat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata setiap yang berlaku semasa persidangan dewan termasuk keputusan yang dibuat oleh beliau adalah berdasarkan peraturan-peraturan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata setiap usul yang dikemukakan perlu mengikut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.
Azhar Azizan juga berkata sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau tidak pernah dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan dalam membuat keputusan.
“Saya tidak pernah dipengaruh, saya membuat keputusan berdasarkan peraturan… saya melibatkan semua pihak sama ada kerajaan (atau) pembangkang,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Media bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.
Ditanya mengenai keperluan mewujudkan sistem Parlimen berpenggal tetap, beliau berkata secara praktikal sistem itu adalah lebih baik kerana tarikh pilihan raya umum yang ditetapkan akan memberi kemudahan kepada semua pihak terlibat termasuk kos yang boleh dijimatkan.
“Saya waktu itu (dalam SPR) lebih suka kalau penggal tetap sebab SPR boleh bersedia. Kita boleh lihat pusat mengundi, kita boleh mula pilih sekolah mana, kita boleh mula sewa dewan, latih petugas, pembekalan (kelengkapan pilihan raya) dan sebagainya.
“Kita akan ada jadualnya (yang sudah ditetapkan). Bila tidak ada sistem dan boleh dipanggil bila-bila pilihan raya secara mengejut maka kita tak boleh bersedia. Kita kena teka sendiri,” katanya.
Media melaporkan Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata idea penggal tetap Parlimen pernah dicetuskan pada 1974 oleh Tan Sri Senu Abdul Rahman yang juga Setiausaha Agung pertama UMNO.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan penganalisis politik mencadangkan supaya Akta Penggal Tetap diwujudkan bagi memastikan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya dilakukan apabila penggalnya tamat.- BERNAMA