SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan Digantung Tugas Serta-merta – MB

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada Selasa.

Beliau mengumumkan bahawa Datuk Masri Razali yang juga Pegawai Kewangan Negeri dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga penyandang baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Manakala tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan oleh Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang baru dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau lagi, notis penggantungan bagi kedua-dua pegawai tinggi itu akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kekal serta sah, selain memberi jaminan bahawa pentadbiran negeri akan terus berjalan seperti biasa demi melaksanakan amanah kepada rakyat sebaik-baiknya.

BBerkaitan

Latest articles