55 Rakyat Malaysia Masih Hilang, Anwar Gesa Nepal Teruskan Pencarian

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa usaha mencari 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam bencana banjir besar di Nepal diteruskan sehingga keluarga mereka mendapat kepastian.

Perkara itu dibangkitkan Anwar ketika menghubungi rakan sejawatnya dari Nepal, Balendra Shah, menerusi panggilan telefon pagi tadi sebelum berlepas ke China untuk lawatan kerja selama tiga hari.

Menurut Anwar, Shah memberi jaminan bahawa operasi pencarian akan diteruskan sedaya upaya meskipun keadaan di lokasi bencana semakin mencabar susulan skala kemusnahan yang disifatkan seperti tsunami.

“Saya berharap segala ikhtiar yang digerakkan akan membuahkan hasil dan memberikan kepastian yang amat dinantikan terutama buat keluarga kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nepal, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang terus berusaha mencari mangsa, termasuk rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan.

Dalam perbualan itu, beliau turut mencadangkan supaya satu mekanisme rasmi diwujudkan sekiranya operasi pencarian akhirnya tidak dapat memberikan kepastian mengenai nasib mangsa.

Katanya, mekanisme berkenaan penting bagi membolehkan keluarga terjejas menguruskan urusan berkaitan aspek perundangan, kewangan dan pentadbiran.

“Saya akan mengutus surat rasmi kepada perdana menteri (Nepal) bagi memperincikan cadangan ini,” katanya.

Bencana yang berlaku pada 26 Ogos di kawasan sempadan Nepal-China itu dilaporkan meragut lebih 1,450 nyawa, manakala lebih 6,000 mangsa masih hilang di kedua-dua negara.

Anwar kini dalam perjalanan ke China bagi memenuhi jemputan kerajaan negara itu untuk lawatan kerja selama tiga hari bermula hari ini.

BBerkaitan

Latest articles