Kaji Semula Dasar Ekonomi, Tangguh Kenaikan Tarif Air – Guan Eng

​KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri didesak mengkaji semula dasar-dasar ekonomi serta kewangan bagi membantu rakyat biasa, golongan makan gaji dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang kini berdepan tekanan hidup semakin mencabar.

​Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, permohonan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar reformasi ekonomi yang dijalankan memberi tumpuan kepada pengurangan beban rakyat, termasuk mengurangkan atau membatalkan sebarang kenaikan cukai.

​Menurut bekas Menteri Kewangan itu, sektor PMKS tempatan ketika ini terpaksa berdepan cabaran berganda akibat kenaikan kos operasi serta persaingan tidak seimbang daripada syarikat luar.

​”Syarikat luar menurunkan harga hingga peniaga PMKS tempatan tidak mampu berdaya saing langsung.

“Jika kerajaan tidak membantu syarikat tempatan, mereka mungkin terpaksa gulung tikar dan ini akan menjadi satu kerugian besar kepada negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

​Selain Kerajaan Persekutuan, Guan Eng turut menggesa kerajaan negeri melaksanakan reformasi ekonomi selari bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dan kos perniagaan.

​Beliau secara khusus meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Ketua Menteri untuk mempertimbangkan penangguhan kenaikan tarif air dan cukai tanah yang kini menjadi isu utama penduduk.

​”Kenaikan tarif air yang bakal berkuat kuasa bulan depan akan memberikan tekanan berat kepada rakyat.

​”Sebagai pemimpin veteran, saya percaya beliau tahu perjuangan kita adalah untuk meringankan beban rakyat dan berharap beliau dapat menimbang semula penangguhan kenaikan ini,” ujarnya.

​Mengulas lanjut, Penasihat DAP itu turut mengingatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkaitan, Zairil Khir Johari supaya lebih menghayati prinsip perjuangan parti.

​”Beliau harus menghayati perjuangan DAP iaitu untuk rakyat, demi rakyat dan bagi rakyat.

​”Tidak sepatutnya kita hanya menjaga kepentingan syarikat. Yang lebih utama ialah kepentingan rakyat, dan menangguhkan kenaikan tarif air adalah jalan yang betul,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles