Pemeriksaan kediaman tak sasar sesiapa, kata LHDN

KUALA LUMPUR. — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menolak dakwaan wujudnya motif politik susulan laporan media bahawa rumah Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin diserbu dan digeledah minggu lepas.

LHDN belum mengesahkan sebarang tindakan diambil di rumah Hamzah dan beliau sendiri menafikan rumahnya di Damansara “diserbu”.
Bagaimanapun, LHDN berkata hari ini, pemeriksaan ke atas premis kediaman pembayar cukai adalah sebahagian daripada kegiatan penguatkuasaan yang dijalankan oleh agensi itu dan bukan langkah menyasarkan individu tertentu.

“Pemeriksaan tidak menyasarkan kumpulan tertentu, sebaliknya dilaksanakan kepada semua pembayar cukai yang disiasat berkaitan kes percukaian,” katanya, lapor Berita Harian.

“Penguatkuasaan dijalankan tanpa rasa takut dan pilih kasih. Malah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan LHDN perlu kekal bebas daripada sebarang pengaruh.”

Minggu lepas, media melaporkan serbuan di rumah Hamzah. Pada Jumaat, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Saifuddin Abdullah menyifatkan serbuan itu sebagai “helah politik murahan” bertujuan memburuk-burukkan PN.

Bagaimanapun, Hamzah, yang juga setiausaha agung Perikatan Nasional, menafikan berlakunya “serbuan”.

“Serbu itu bagaimana maksudnya? Saya nak maklumkan sudah banyak fitnah dilakukan terhadap saya, saya tak mahu jawab fitnah dan berita yang tersebar luas ini.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan, termasuk membuat laporan polis dan menyaman pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah terhadapnya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak dimaklumkan tentang serbuan di rumah Hamzah. Perkara itu “urusan LHDN”, tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles