KUALA LUMPUR: Bekas pembantu kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, James Chai, hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sekitar jam 9.50 pagi tadi bagi memberikan keterangan kepada pihak penyiasat.
Difahamkan, penganalisis politik itu dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes pelaburan ARM yang dianggarkan bernilai RM1.12 bilion.
Sebelum ini, SPRM mendedahkan bahawa pihaknya telah memberikan tempoh dua minggu kepada James untuk tampil memberi keterangan.
Malah, agensi itu turut menyatakan kesediaan menanggung kos perjalanan beliau pulang ke Malaysia bagi tujuan tersebut.
Menurut SPRM, tindakan lebih tegas termasuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa antarabangsa seperti Interpol akan dipertimbangkan sekiranya beliau terus gagal hadir walaupun telah diberikan lanjutan masa sebanyak dua kali.
“Pada 4 Mac 2026, notis mengesan individu telah dikeluarkan. Susulan itu, pihak kami menerima makluman daripada peguam beliau bertarikh 9 Mac yang menyatakan James tidak dapat hadir atas faktor kos penerbangan dan komitmen kerja.
“Kami kemudian memberi lanjutan sehingga 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi tidak menyatakan kesediaan untuk hadir,” menurut kenyataan SPRM.
Dalam perkembangan sama, SPRM memaklumkan setakat ini seramai 17 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, termasuk pegawai dari Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.
Selain itu, pelbagai dokumen penting termasuk perjanjian serta bahan sokongan turut telah diperoleh bagi melengkapkan siasatan.
Pihak SPRM dijangka akan memanggil lapan lagi saksi dalam masa terdekat, termasuk beberapa individu yang kini berada di luar negara.










