Fahmi Tegaskan Dasar Malaysia Mengenai China-Taiwan Kekal Seperti Sejak Era Tun Razak

KUALA LUMPUR: Dasar Malaysia berhubung isu China dan Taiwan tidak pernah berganjak sejak pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam wawancara bersama media antarabangsa baru-baru ini tidak membawa sebarang perubahan terhadap dasar luar negara.

Sebaliknya, Fahmi berkata, pendirian Anwar adalah berdasarkan dasar yang telah lama diguna pakai Wisma Putra dan kekal menjadi pendirian rasmi Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang didakwa mempersoalkan kenyataan Anwar mengenai China dan Taiwan kerana dikatakan boleh mengehadkan ruang diplomasi Malaysia.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menolak dakwaan itu dan menegaskan Malaysia tidak mengambil pendirian baharu dalam isu terbabit.

“Pertama, pendirian Malaysia mengenai isu berkenaan adalah sejak zaman Almarhum Tun Abdul Razak dan pendirian kita tidak pernah berubah.

“Perdana Menteri hanya menyatakan apa yang konsisten dengan pendirian Wisma Putra. Jadi, tidak ada perubahan ataupun perbezaan dalam hal itu,” katanya kepada pemberita pada Program Kenduri Rakyat MADANI, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Fahmi menyuarakan rasa kecewa terhadap PAS kerana menurutnya parti itu lebih banyak mengulas isu luar negara berbanding perkara dalam negara yang mempunyai kaitan secara langsung dengan kepentingan umat Islam.

Beliau mengambil contoh Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH), yang antara lain mendedahkan kelemahan pengurusan akaun serta pelaburan institusi berkenaan sepanjang 2014 hingga 2017.

Laporan tersebut turut menyentuh kerugian yang mencecah jutaan ringgit akibat kelemahan yang berlaku dalam tempoh berkenaan.

“Yang saya kesal… kenapa pihak-pihak tertentu termasuk rakan-rakan daripada PAS dalam bab yang jauh dari kita, banyak komentar tetapi yang sangat dekat dengan kita termasuk TH, kita tidak mendengar sepatah pun sebenarnya pendirian mereka mengenai isu kerosakan yang telah berlaku sebagaimana terkandung dalam Laporan RCI TH,” katanya.

Fahmi turut menggesa pembangkang supaya memberi perhatian terhadap kandungan laporan berkenaan dan menggunakan ruang di Dewan Rakyat untuk membahaskan isu yang mempunyai kepentingan kepada rakyat.

Katanya, kerajaan pada masa ini sedang mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dan mengembalikan TH kepada kedudukan sebagai institusi penting umat Islam.

Beliau menegaskan proses pemulihan itu perlu diberi keutamaan agar keyakinan terhadap institusi berkenaan dapat diperkukuhkan semula.

BBerkaitan

Latest articles