Pembangkang Mahu Usul Tergempar DNAA Ahmad Zahid Dibahas

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa usul tergempar untuk memanggil Peguam Negara susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

Suasana di Dewan Rakyat kemudiannya menjadi kecoh dalam beberapa minit selepas sesi dibuka untuk pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).

Menurut Wah Ahmad Fayhsal, tindakan tersebut untuk membolehkan Peguam Negara memberi penjelasan terperinci berhubung keputusan memohon DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, ia ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan disokong oleh Ahli Parlimen Kerajaan.

Situasi mula panas apabila apabila beberapa pemimpin diketuai Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mendesak supaya usul DNAA itu diterima dan dibahaskan.

Bagaimanapun Speaker menegaskan bahawa usul itu sudah ditolak, namun memaklumkan akan memberi ruang kepada Wan Ahmad Fayshal untuk bercakap selepas urusan pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai.

“Usul (sudah) ditolak. Saya beri ruang (untuk bercakap) sebab (usul sudah) ditolak. Jadi, jangan tanya sekarang,” kata Johari ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Kekecohan tidak terhenti di situ apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin terus mempertikai sama ada keputusan dibuat Speaker itu membawa maksud usul berkenaan diterima dan boleh dibahas.

Sebelum ini, Ahmad Fayhsal meminta sidang pada hari ini ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.

Katanya, usul ini adalah perkara tertentu kerana Dewan Rakyat berhak mengetahui perincian dan asas keputusan berkenaan kerana Timbalan Perdana Menteri adalah seorang anggota pentadbiran kanan Kerajaan Persekutuan dan seorang Ahli Dewan Rakyat.

“Peguam Negara perlu menyatakan perkara yang menjadi asas kepada penarikan 47 pertuduhan itu sedangkan mahkamah memutuskan wujud prima facie dan Timbalan Perdana Menteri diarah membela diri.

“Justeru usul ini hendaklah disegerakan memandangkan ia membabitkan imej baik serta kredibiliti institusi Peguam Negara yang secara umum sedang hangat diperkatakan,” katanya di Facebook miliknya.

Isnin lalu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, penjelasan segera daripada Peguam Negara dapat melenyapkan persoalan serta pertikaian awam terhadap isu itu.

“Jadi usul ini penting bagi memastikan tiada campur tangan dari pihak kerajaan khususnya pimpinan tertinggi negara dalam kes berprofil tinggi yang membabitkan ahli politik.

“Usul ini juga membabitkan kepentingan ramai untuk mengetahui mengapa 47 pertuduhan itu tidak diteruskan walaupun sebanyak 99 saksi pendakwaan sudah memberikan keterangan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles