KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan yang aka. memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai satu pencapaian besar hasil perjuangan mahasiswa yang menuntut kebebasan sejak sekian lama.
Pengarah Komunikasi PKR, Adam Adli Abdul Halim, berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu turut memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam meneruskan agenda reformasi.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu, pemansuhan AUKU tidak seharusnya dilihat sebagai kemenangan mana-mana pihak atau ruang untuk berebut pengiktirafan.
“Saya tanggapi pengumuman PM berkait pemansuhan AUKU sebagai satu tanda besar terhadap komitmen kepada reformasi.
“Pada saat ini, saya tidak fikir siapa yang menang atau siapa yang mendapat kredit,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebaliknya, bekas aktivis mahasiswa itu memilih untuk mengimbau kembali mereka yang pernah berdiri dalam perjuangan menuntut perubahan, termasuk individu yang berdepan tekanan, hukuman dan tindakan kerana berani menyuarakan pandangan.
Adam berkata, keberanian golongan berkenaan menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang menuju perubahan dasar berkaitan kebebasan mahasiswa.
“Saya cuma terkenang wajah-wajah yang pernah berdiri bersama. Mereka yang pernah takut, tetapi tetap datang. Mereka yang pernah dihukum, tetapi tetap bersuara.
“Ini hadiah buat perjuangan anak mahasiswa sepanjang zaman. Terima kasih Perdana Menteri,” katanya.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan keputusan memansuhkan AUKU ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa meskipun akta berkenaan telah melalui beberapa pindaan, masih terdapat mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan peruntukan tertentu dan terus mendesak supaya ruang kebebasan mereka diperluaskan.
Keputusan itu juga menandakan perubahan besar dalam pendirian kerajaan berhubung masa depan AUKU.
Ini kerana sebelum ini Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk memansuhkan akta tersebut sepenuhnya, walaupun AUKU telah beberapa kali dipinda sejak mula diperkenalkan pada 1971.










