PORT DICKSON: Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin meluahkan rasa pelik dan hairan melihat lambakan dana yang didakwanya diagih-agihkan secara sewenang-wenangnya oleh Pakatan Harapan (PH) atau ‘pasukan merah’ menjelang hari pembuangan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini.
Beliau mempersoalkan dari mana datangnya sumber kewangan berkenaan, sedangkan kepimpinan kerajaan sebelum ini sering melaungkan isu ‘sakau’ serta mendakwa negara menghadapi kekangan ekonomi.
”Hari ini pasukan merah itu, saya pun hairan banyak betul duit mereka. Saya tengok dalam media sosial, bagi duit senang sewenang-wenangnya.
”Yang Perdana Menteri duk cerita sakau-sakau ini, yang kata macam-macam tentang pasukan biru ini, akhirnya terbukti Allah tunjukkan kepada kita semua siapa yang main duit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega ‘Biru-kan Port Dickson’ di Teluk Kemang, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Dalam Negeri itu menegaskan sekiranya dana berkenaan diperolehi secara sah dan menerusi perniagaan yang betul, ia tidak akan ditabur dengan begitu mudah.
”Kalaulah duit itu mereka yang benar-benar dapat secara betul, cara mereka buat perniagaan secara yang betul, percayalah tak mungkin boleh begitu lajunya duit diberi dengan sewenang-wenangnya.
”Tak mungkin. Ini kerana duit datang dengan semudah mungkin,” bidasnya lagi.
Sehubungan itu, Hamzah mengingatkan para pengundi supaya tidak terpengaruh atau terikat dari segi sokongan moral sekiranya diberi habuan kewangan sedemikian.
”Kepada mereka yang sudah pun ambil duit belum lagi mengundi, pada 1 Ogos nanti jangan fikir tentang duit itu kerana duit itu mereka tak ingat pun datang daripada mana.
”Ambil duit, masuk poket, terus undi pasukan biru (Perikatan Nasional). Kerana yang kita nak pastikan adalah kuasa untuk membentuk kerajaan secara adil untuk rakyat semua,” tegas beliau.










