Pelaksanaan Darurat Tak Jejaskan Keyakinan Pelabur Terhadap Malaysia – Azmin Ali

Walaupun ramai pakar ekonomi memberikan pandangan bahawa pelaksanaan darurat akan menjejaskan keyakinan pelabur ke atas Malaysia, bagi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau ada pendapat beliau tersendiri.

Katanya, pelaksanaan proklamasi darurat yang dibuat sebelum ini di kawasan Parlimen Gerik di Perak dan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah terbukti tidak menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini.

Justeru, perisytiharan darurat di seluruh negara baru-baru ini, akan memberikan keyakinan kepada pelabur asing, kata Azmin.

Beliau mendakwa pelabur asing melihat langkah itu sebagai kesungguhan kerajaan untuk menangani penularan pandemik COVID-19.

BACA JUGA – Isytihar Darurat Tak Bermaksud Muhyiddin Buat Silap

“Pelabur semakin yakin bahawa Malaysia berjaya menangani penularan Covid-19 secara bertanggungjawab dan kita akan meneruskan usaha ini.

“Apabila kita dapat melandaikan keluk Covid-19, ekonomi negara akan pulih dengan lebih cepat. Jika panjang lagi masanya, lagi besar (usaha untuk memulihkan ekonomi). Itu sebabnya kita memerlukan situasi di mana ordinan (darurat) telah diperkenankan oleh Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) bertujuan untuk menangani COVID-19,” katanya dipetik BERNAMA.

Azmin memberikan reaksi balasnya kepada pendapat para penganalisis mengenai kemungkinan pelabur jadi kurang yakin selepas Yang di-Pertuan Agong melaksanakan darurat.

Antaranya ialah, Felo Akademi Sains Malaysia, Madeline Berma, yang berkata walaupun beberapa pelabur akan cuba memanfaatkan kestabilan yang dibawa oleh darurat, masih ada banyak kesan negatif yang dapat menyahkan sebarang manfaat daripadanya.

“Darurat itu sendiri akan mengurangkan keinginan melabur syarikat-syarikat multinasional (MNC). Dicampur pula dengan faktor-faktor lain seperti kelemahan PKS dan pelabur swasta domestik lain, dan persaingan menarik pelaburan asing daripada negara-negara serantau, kita akan lihat trend penurunan jumlah dan kualiti pelaburan ke Malaysia.

“Sebilangan pelabur asing memandang proklamasi itu sebagai langkah tidak demokratik, dan itu akan dapat menganggu pasaran dan membawa kepada kos menjalankan perniagaan yang lebih tinggi,” kata Madeline.

BBerkaitan

Latest articles