KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2022 kali ini memfokuskan kepada empat agenda utama, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, antara fokus itu adalah bagaimana untuk mengembalikan semula UMNO selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Fokus PAU2022 adalah untuk melihat bagaimana kita (UMNO) ingin melangkah kehadapan.
“Keduanya adalah apa yang kita (UMNO) boleh pelajari daripada kekalahan PRU15 walaupun kita (UMNO) menang di tujuh PRK dan dua PRN.
“Pasti ada sesuatu yang menyebabkan UMNO tewas pada PRU15 lalu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) hari ini.
Justeru itu Ahmad Maslan berkata, PAU2022 kali ini akan mendengar ulasan mengenai kekalahan PRU15 serta meneliti punca yang boleh diperbaiki pada masa hadapan.
Selain itu, katanya PAU2022 turut memberi perhatian mengenai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri nanti.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan turut mengesahkan UMNO perlu membuat pemilihan di semua peringkat jawatan tertinggi sebelum 19 Mei depan.
Is susulan permohonan parti itu untuk menangguhkan pemilihan selama enam bulan selepas PRU15 baru-baru ini.
“Pemilihan parti UMNO di semua peringkat iaitu cawangan dan bahagian serta Majlis Kerja Tertinggi termasuk Exco Wanita, Pemuda dan Puteri hendaklah diadakan sebelum 19 Mei.
“Ini kerana pada 9 November tahun lalu, PRU15 diadakan, tempoh dalam enam bulan itu adalah apabila tarikh PRU15.
“Jadi campur enam bulan bermakna sebelum 19 Mei depan,” katanya.
Jelas Ahmad lagi, PAU2022 kali juga tidak akan memuktamadkan tarikh bagi pemilihan kerana UMNO mempunyai tempoh beberapa minggu lagi untuk memuktamadkan tarikh tersebut.
“Segala pemilihan hendaklah diselesaikan sebelum 19 Mei 2023. Pengumuman mengenai tarikh itu tidak dibuat semasa PAU2022 kali ini,” katanya lagi.