KUALA LUMPUR: Harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing mencatatkan kenaikan bagi tempoh 30 April hingga 6 Mei 2026, susulan tekanan berterusan dalam pasaran minyak global.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, harga RON97 meningkat lima sen kepada RM4.90 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi naik 10 sen kepada RM3.97 seliter.
Bagaimanapun, harga diesel di Semenanjung kekal pada RM5.12 seliter bagi tempoh sama.
Menurut kementerian itu, harga petroleum dunia masih berada pada paras tinggi berbanding sebelum konflik, selain turut terjejas akibat kekangan bekalan minyak dan produk petroleum global.
Keadaan ini berpunca daripada kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat yang memerlukan masa untuk dipulihkan.
“Dengan risiko konflik yang kekal tinggi dan hala tuju pasaran yang masih sukar dijangka, harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi diselaraskan berikutan pergerakan harga pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, kerajaan menegaskan komitmen untuk terus melindungi rakyat melalui pengekalan harga bahan api bersubsidi secara bersasar.
Ini termasuk RON95 bersubsidi (BUDI95) yang kekal pada RM1.99 seliter, diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, selain pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi pada RM2.15 seliter.
Kerajaan turut menyeru orang ramai agar menggunakan bahan api secara berhemah dalam usaha membantu mengekalkan kestabilan bekalan negara, di samping memastikan keperluan tenaga kekal mencukupi.










