KUALA LUMPUR: Tempoh sah laku pasport selama 10 tahun tidak bercanggah dengan perundangan antarabangsa atau domestik dan tidak menjejaskan urusan kawalan sempadan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata tiada halangan bagi mana-mana negara mengeluarkan pasport dengan tempoh sah selama atau melebihi 10 tahun.
Menurutnya, isu hanya mungkin timbul ketika urusan tempahan tiket dengan sesetengah syarikat penerbangan.
“Dari segi kawalan sempadan, tiada isu jika pasport dikeluarkan dengan tempoh sah laku selama atau lebih 10 tahun,” katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan tular di media sosial yang mendakwa tempoh sah pasport Malaysia selama 10 tahun melebihi had sistem penerbangan tertentu, sekali gus menyukarkan pemegang pasport melakukan penerbangan antarabangsa.
Zakaria berkata, Malaysia bagaimanapun sudah memuktamadkan keputusan mengehadkan tempoh sah laku pasport kepada maksimum 10 tahun, selain memaklumkan perkara itu kepada syarikat penerbangan antarabangsa.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang memiliki pasport sah 10 tahun dan mahu melakukan penerbangan antarabangsa dinasihatkan membuat pembelian tiket di kaunter syarikat penerbangan.
Langkah itu membolehkan pihak penerbangan membuat pengesahan secara terus berhubung tempoh sah pasport berkenaan.
“Kita tidak mengeluarkan dokumen sokongan bagi mengesahkan pasport dengan tempoh sah 10 tahun milik individu persendirian sebagai dokumen perjalanan sah.
“Mereka bagaimanapun hanya perlu membuat urusan pembelian tiket di kaunter, sekali gus membolehkan proses pengesahan dilakukan secara terus di situ,” katanya.
Isu berkenaan tercetus susulan hantaran seorang pengguna media sosial, Nurhamizah Zaid, yang mendakwa beliau dan beberapa individu lain menghadapi kesukaran ketika mahu menaiki penerbangan antarabangsa kerana tempoh sah pasport.










