KULIM: Kecurigaan penduduk kampung terhadap kehadiran seorang lelaki dan remaja perempuan yang kerap memasuki kawasan surau pada lewat malam akhirnya membawa kepada penahanan pasangan tersebut dalam satu pemeriksaan awal pagi.
Pasangan berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sopan di dalam tandas sebuah surau kira-kira jam 1.30 pagi selepas beberapa penduduk bertindak memantau pergerakan mereka yang dilihat berulang kali datang ke lokasi itu pada waktu malam.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, orang ramai mula curiga apabila pasangan terbabit beberapa kali dilihat menuju ke surau pada lewat malam dan awal pagi tanpa alasan yang jelas.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 18 tahun dari Sungai Kob, Karangan bersama seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dari Changlun berada di dalam tandas surau berkenaan.
“Penduduk kampung mengesyaki berlaku perlakuan tidak bermoral selepas melihat pasangan itu kerap hadir ke kawasan surau pada waktu yang mencurigakan.
“Pemeriksaan kemudian mendapati mereka berada di dalam tandas dalam keadaan separuh bogel,” katanya.
Susulan penemuan itu, penduduk menghubungi pengerusi surau sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak penguat kuasa agama untuk tindakan lanjut.
Siasatan awal mendapati kedua-duanya bukan pasangan suami isteri.
Lelaki terbabit dipercayai baru mengenali remaja perempuan itu kira-kira seminggu lalu ketika bekerja di sebuah gerai menjual nasi lemak.
Difahamkan, remaja perempuan tersebut tinggal bersama ibu saudaranya di Sungai Ular, manakala kegiatan mereka terbongkar selepas sering diperhatikan oleh pelanggan dan penduduk yang berada di gerai makanan berhampiran.
Pasangan berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki melakukan kesalahan berkhalwat.










