PAS Tak Tolak Kerjasama Dengan UMNO, Dengan Syarat Terima Bersatu

KUALA LUMPUR: PAS memberitahu ia terbuka untuk bekerjasama semula dengan UMNO seperti yang pernah dilakukan menerusi Muafakat Nasional (MN) suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, jika benar kedua-dua parti mahu bekerjasama semula, langkah itu perlu melalui platform Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Bersatu.

Untuk rekod, hubungan antara PAS dan UMNO retak selepas PAS enggan mengenepikan kerjasamanya dengan Bersatu menerusi PN.

UMNO pula menolak sebarang hubungan dengan Bersatu kerana parti itu adalah serpihannya dan diketahui hendak menggantikannya.

“PAS tidak pernah mengenepikan agenda penyatuan ummah.

“Kerjasama boleh dilakukan dengan sesiapa sahaja melalui PN kerana sebagai parti utama, sebarang kerjasama politik mestilah dipersetujui oleh Majlis Syura,” katanya dipetik dari laman portal FMT.

Tuan Ibrahim berkata demikian susulan cadangan penyatuan untuk mengambilalih pentadbiran Putrajaya dibangkitkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil.

Isnin lalu, Isham dilaporkan berkata Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menjadi Perdana Menteri jika PN berjaya memujuk UMNO bermuafakat semula sebelum PRU16.

Ia selepas Menteri Besar Terengganu itu menang besar dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman, Sabtu lalu.

BBerkaitan

Latest articles