PAS Sudi Kerjasama Dengan UMNO Bermakna Tak Masuk Neraka, Tak Kafir

KUALA LUMPUR: UMNO secara sinis membalas kenyataan PAS yang baru-baru ini menyatakan kesudiannya untuk kembali bekerjasama dengan parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata perkembangan itu menyaksikan bahawa apabila PAS hendak sokong atau kerjasama dengan UMNO bermakna tidak masuk neraka dan tidak sesat atau kafir.

Sebelum ini, pernah beberapa pemimpin PAS mengkritik UMNO dengan menyifatkan sesiapa yang memberi undi kepada parti itu akan masuk neraka.

Begitu juga dengan gelaran kafir yang diberikan PAS kepada UMNO setelah parti berkenaan bekerjasama dengan DAP menerusi Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu Asyraf mengingatkan semua pihak agar bersederhana dan berpada-padalah dalam berpolitik dan berparti.

Menurutnya, berbeza parti tidak wajar putus tali silaturrahim dan berlainan parti tidak harus pecah hubungan ukhuwwah sesama Muslim.

“Berbeza parti jangan sampai saling sesat-menyesat, memaki hamun, apatah lagi memugar semula fenomena kafir mengkafir yang memudaratkan.

“Sebab itulah Islam mengajar untuk sentiasa bersederhana dalam berkawan mahupun berlawan,” katanya.

Semalam, PAS memberitahu ia tidak menolak untuk bekerjasama semula dengan UMNO dengan syarat perlu melalui platform Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Bersatu.

BBerkaitan

Latest articles