PAS Patut Sedar Mereka ‘Naik’ Hari Ini Hasil Jasa UMNO

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempertahankan parti itu selepas seorang pemimpin PAS berkata ia patut ‘matikan’ UMNO selepas kekalahan pada PRU14.

Mohd Khairuddin sebaliknya mengingatkan PAS seharusnya menyesali tindakannya mengkhianati kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) suatu ketika dahulu dengan menubuhkan Perikatan Nasional (PN) dalam diam-diam.

Mohd Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS juga berkata, atas sebab pengkhianatan PAS itu menyebabkan MN mati tanpa batu nisan.

Sedangkan PAS meraih pelbagai manfaat hasil keputusan Majlis Syura Ulamak PAS untuk bekerjasama dengan UMNO.

“Maka wajarkah ungkapan penyesalan diungkapkan setelah pelbagai manfaat diperolehi hasil kerjasama?

“Penyesalan ini seolah menafikan didikan Islam kepada suami isteri yang baru bercerai agar tidak melupakan kebaikan pasangan masing-masing sepanjang perkahwinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas kesal kerana membantu UMNO bangkit selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, PAS sepatutnya tidak berbuat demikian dan mengambil kesempatan untuk ‘nyak’ UMNO ketika itu.

Mohd Khairuddin berkata, pemimpin-pemimpin PAS sepatutnya sedar bahawa mereka mengecapi nikmat menjadi kerajaan hasil kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 55 kerusi Parlimen.

Beliau memberitahu, selepas PRU14, PAS hanya mempunyai 18 kerusi Parlimen dan tidak mungkin dapat membentuk kerajaan Persekutuan jika bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja.

“Malah kemenangan besar pada PRU15 adalah kerana hasil berkerajaan dengan UMNO selama tiga tahun mulai 2020 hingga 2022.

“Ia memberi peluang PAS berkhidmat kepada rakyat dengan pelbagai peruntukan kerajaan dan melegakan pentadbiran Pas di Terengganu, Kelantan dan Kedah,” jelasnya.

Mohd Khairuddin menambah, adalah malang bagi UMNO yang kalah PRU15 setelah diserang dengan pelbagai persepsi negatif seperti ‘keruh’ dan ‘tidak bersih’ oleh Pas yang sebelum itu turut mempertahankan tuduhan terhadap UMNO.

“Begitu banyak manfaat yang diperoleh oleh PAS menerusi kerjasama dengan UMNO yang tidak wajar diingkari dan dinafikan oleh PAS,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles