KUALA LUMPUR: Menjelang ulang tahun ketiga Muafakat Nasional (MN) pada 14 September ini, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyorot beberapa sejarah yang terbentuk antara PAS dan UMNO menerusi gabungan berkenaan.
Bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS itu berkata, atas pembentukan gagasan yang pernah menyatukan 3.2 juta penyokong UMNO dan satu juta penyokong PAS itulah membuatkan dua parti politik yang pernah ‘berperang’ menjadi baik dan harmoni
“Muafakat yang menyatukan adik beradik dan sanak saudara yang bergaduh dan berparang di ceruk-ceruk kampung terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Muafakat yang menitiskan air mata 4.2 juta orang Melayu Islam. Muafakat yang menjadikan ahli dua parti lebih matang, harmoni dan mesra dalam berpolitik melainkan oleh segelintir yang masih garang berperang dan berparang.
“Muafakat yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas untuk diusahakan sejak 2015 lagi bukan pada 2018 selepas keputusan pilihan raya umum (PRU), bagi menyatukan umat Islam dan memperkasakan Islam di Malaysia,” katanya dalam hantaran media sosialnya.
Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dikenali lantang bersuara agar PAS mempertahankan hubungan dengan UMNO ketika pucuk pimpinan parti itu lebih cenderung memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut mengingatkan kembali tunas permuafakatan antara PAS dan UMNO yang bercambah dengan penubuhan semula Majlis Perundingan Islam (MPI) yang dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat induk MPI pada 2016.
Mohd Khairuddin berkata, mesyuarat tersebut telah meletakkan pimpinan PAS dan UMNO atas satu platfom dengan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Haron Din sebagai Pengerusi Kluster Dakwah.
Selain itu, katanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Ketua Kluster Sosial manakala Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Ketua Kluster Politik dan Datuk Ahmad Yakob sebagai timbalannya.
“Seterusnya menyusul persidangan kali pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 12 April 2016 menghimpunkan 87 orang tokoh Islam termasuk daripada UMNO dan PAS,” jelasnya.