KUALA LUMPUR: Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Pakatan Harapan (PH) telah menjadi tempat mereka yang anti-Islam dan anti-Melayu berkumpul tidak disenangi Amanah.
Amanah, yang juga parti serpihan PAS mendakwa Presiden PAS itu cuba menanam bibit kebencian dalam kalangan rakyat, malah ini akan membawa kepada perasaan takut dan kebencian.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berpendapar, semua pihak sepatutnya membawa politik yang harmoni, murni serta damai bukan membina masyarakat dengan pendekatan politik permusuhan.
“Saya nasihatkan kepada Presiden PAS harus ingat bahawa di hujung-hujung usia ini beliau harus memberikan satu peninggalan yang lebih baik untuk generasi kita yang akan datang dan bukannya membawa politik kebencian yang boleh merobek dan meruntuhkan negara kita.
“Kita mesti membina Malaysia sebagai rumah kita, bukan membina Malaysia dengan kemusnahan dan perbalahan atas bibit-bibit perkauman dan keagamaan yang sempit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah hari ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian ketika diminta kenyataan Abdul Hadi semalam bagi menjelaskan mengapa PAS enggan bekerjasama dengan PH sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Berhubung pembahagian kerusi menjelang PRU-15, Mahfuz menyatakan, Amanah sedang berunding untuk mendapatkan kerusi boleh menang termasuk untuk calon-calon muda dari parti itu.
Beliau menambah, Amanah juga sedang dalam proses pemilihan termasuk pemimpin-pemimpin muda yang dicalonkan oleh kawasan masing-masing.
“Yang tiada nama, insya-Allah kita masukkan nama mengikut keperluan di kerusi-kerusi tertentu,” jelasnya.
Sementara itu Mahfuz turut menyatakan pandangannya berkenaan permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menyertai PH.
“Saya serahkan kepada Majlis Presiden untuk membuat ketetapan tentang pengagihan kerusi dalam komponen termasuk Muda yang ingin menyertai PH,” katanya.