KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Datuk Seri Najib Razak memainkan peranan utama dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion yang dilaksanakan melalui rangkaian transaksi rumit bersama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Dalam alasan penghakiman penuh setebal 809 muka surat yang dikeluarkan hari ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menyatakan bekas Perdana Menteri itu bertindak secara terancang dan berhati-hati dengan Jho Low dalam mewujudkan skim penipuan yang membolehkan dana 1MDB dipindahkan melalui pelbagai lapisan transaksi sebelum akhirnya memasuki akaun bank peribadinya.
Menurut hakim berkenaan, mahkamah turut mengambil kira sikap Najib yang disifatkan tidak menunjukkan sebarang penyesalan terhadap perbuatannya.
Sebaliknya, beliau memilih untuk meletakkan kesalahan kepada pihak lain termasuk pengurusan 1MDB, suatu faktor yang dianggap relevan ketika menentukan hukuman.
Collin, yang kini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, turut berpandangan bahawa Najib berusaha menyembunyikan serta melindungi salah laku berkaitan skandal 1MDB.
Antara tindakan yang disebut termasuk pembubaran pasukan petugas khas yang menyiasat kes tersebut serta cubaan mempengaruhi Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, supaya mengeluarkan kenyataan yang dapat membersihkan namanya daripada sebarang dakwaan salah laku.
Dalam penghakiman itu, mahkamah menegaskan bahawa skala jenayah yang melibatkan jumlah wang yang besar serta kesan jangka panjang terhadap kedudukan kewangan negara merupakan faktor utama yang dipertimbangkan.
Hakim berpendapat beban kewangan akibat skandal berkenaan bukan sahaja ditanggung generasi semasa, malah turut memberi kesan kepada generasi akan datang.
Sehubungan itu, mahkamah berpendirian hukuman berbentuk pencegahan wajar dikenakan ke atas Najib meskipun mengambil kira sumbangannya kepada negara dan kedudukannya sebagai bekas pemimpin tertinggi kerajaan.
Pada 26 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan dana 1MDB.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion bagi empat pertuduhan salah guna kedudukan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan 10 tahun bagi setiap pertuduhan sekiranya denda tersebut gagal dijelaskan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib dikenakan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa denda.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak, menjadikan tempoh penjara keseluruhan kekal 15 tahun selepas beliau selesai menjalani baki hukuman dalam kes SRC International.










