Pakej rangsangan lebih RM100 bilion masih dalam pelaksanaan – PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masih terdapat pelbagai program pakej rangsangan bernilai lebih daripada RM100 bilion yang masih dalam pelaksanaan.

Daripada segi perbelanjaan langsung daripada kerajaan, Kumpulan Wang Covid-19 telah diluluskan dengan siling RM65 bilion, katanya.

Sebanyak RM38 bilion telah dibelanjakan pada tahun lalu dan sehingga April 2021.

Manakala RM10 bilion lagi telah disalurkan.

Perdana Menteri menambah, baki sebanyak RM17 bilion akan dibelanjakan dalam tempoh terdekat ini.

Ini termasuk Bantuan Prihatin Rakyat Fasa 2 yang baharu dilaksanakan awal Mei dengan peruntukan RM2.7 bilion kepada 8.4 juta penerima dengan bayaran Fasa 3 bernilai RM2.4 bilion untuk bulan September.

Program subsidi upah, insentif penggajian serta program latihan membantu menjamin pekerjaan sedia ada serta penyediaan pekerjaan baharu dengan sasaran 500,000 tahun ini.

Selain itu, pelaksanaan projek-projek kecil dengan peruntukan lebih RM2 bilion untuk dimanfaatkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 bagi pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam.

Program Jaringan Prihatin bernilai RM2 bilion yang dilancarkan pada awal Mei lalu bagi membantu 8.4 juta penerima BPR bagi melanggan perkhidmatan telekomunikasi atau mendapatkan telefon mudah alih.

Program e-Belia yang akan dibuka pendaftaran esok, membolehkan 2 juta belia dan pelajar IPT yang layak mendapat kredit bernilai RM150 dari penyedia perkhidmatan e-tunai.

BBerkaitan

Latest articles