Pakar Perubatan Setuju Penggunaan Virus Tidak Aktif

Pakar Perubatan Setuju Penggunaan Virus Tidak Aktif

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata penggunaan vaksin virus tidak aktif sudah terbukti teknologinya sejak 40 tahun lalu dan kini ia boleh diperluaskan dalam vaksin COVID-19.

“Vaksin virus tidak aktif dibangun menggunakan virus aktif yang lemah untuk merangsang tubuh badan menghasilkan tindak balas imun lebih baik.

“Jika kita melihat penyakit seperti polio, influenza dan rabies, kesemua wabak itu dikawal penularannya menggunakan vaksin virus tidak aktif.

“Justeru, saya yakin vaksin itu sesuai digunakan secara meluas dalam memastikan rantaian COVID-19 berjaya diputuskan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Rabu lalu, Malaysia memulakan kajian klinikal fasa 3 vaksin COVID-19 menggunakan platform vaksin virus tidak aktif atau antigen SARS-CoV-2 di sembilan hospital membabitkan 3,000 sukarelawan.

Kajian klinikal itu ditaja Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS) dengan objektif untuk menilai keselamatan dan keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19.

Dengan merujuk CoronaVac, iaitu vaksin virus tidak aktif keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac Lifesciences Co Ltd sebagai contoh, Dr Zainal Ariffin berkata, vaksin berkenaan lebih mudah diedarkan ke seluruh negara, termasuk kawasan pedalaman kerana kaedah penyimpanan yang minimum.

“Suhu diperlukan untuk vaksin itu ialah antara 2-8 darjah Celsius, iaitu suhu peralatan penyimpanan yang biasa terdapat di hospital dan klinik kerajaan.

“Ini secara tidak langsung akan memudahkan serta mempercepat proses pengedaran vaksin ke seluruh negara,” katanya.

Selasa lalu, Pharmaniaga Bhd memeterai satu perjanjian dengan Kementerian Kesihatan bagi membekalkan 12 juta dos vaksin CoronaVac apabila bekalan pertama tiba pada bulan depan.

Vaksin itu akan tersedia kepada rakyat Malaysia pada akhir Mac atau awal April depan.

CoronaVac telah didaftar dan diluluskan untuk kegunaan semasa kecemasan di China, Chile, Brazil, Indonesia serta Turki.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, juga sudah mengambil vaksin itu.

BBerkaitan

Latest articles