Onn Hafiz Mampu Atasi Pengaruh Anwar, Kajian ILHAM Ramal BN Hampir Pasti Raih Majoriti Dua Pertiga

JOHOR BAHRU: Populariti tinggi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengatasi pengaruh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menjadi pemacu utama kepada momentum Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, sekali gus meletakkan gabungan itu di landasan kukuh untuk memperoleh majoriti dua pertiga.

Kajian lapangan terbaru ILHAM Centre merekodkan tahap populariti Onn Hafiz mencecah 79 peratus, jauh mengatasi Anwar yang memperoleh 40 peratus, sekali gus mencerminkan kecenderungan pengundi yang lebih memberi keutamaan kepada kepimpinan kerajaan negeri berbanding sentimen politik di peringkat Persekutuan.

Menurut ILHAM Centre, faktor itu membantu BN menyesuaikan kempen dengan karakter pilihan raya negeri yang lebih menilai prestasi pentadbiran, rekod kerajaan negeri dan keberkesanan kepimpinan Menteri Besar.

“Dalam PRN Johor, populariti Menteri Besar berjaya mengatasi pengaruh Perdana Menteri dalam membentuk kecenderungan pengundi.

“BN lebih berjaya menyesuaikan kempen dengan karakter pilihan raya negeri melalui kerja kuat Onn Hafiz serta rekod pentadbiran kerajaan negeri yang mudah diterjemahkan kepada pengalaman harian rakyat,” menurut kajian itu.

Berdasarkan keseluruhan dapatan, BN diunjurkan berpotensi memenangi 39 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus melepasi ambang majoriti dua pertiga.

Kajian itu menjelaskan kelebihan BN didorong oleh kemampuan parti berkenaan memanfaatkan kedudukannya sebagai kerajaan negeri menerusi naratif kestabilan politik, kesinambungan pentadbiran dan pembangunan Johor yang dekat dengan kehidupan rakyat.

ILHAM Centre turut mendapati pengundi dalam PRN lebih menilai prestasi kerajaan negeri berbanding sentimen nasional yang lazim mempengaruhi Pilihan Raya Umum (PRU).

“Dalam konteks pilihan raya negeri, pertimbangan pengundi lebih tertumpu kepada prestasi kerajaan negeri, rekod pentadbiran, keberkesanan Menteri Besar serta pembangunan yang dapat dirasai secara langsung.

“Berbeza dengan PRU yang lazimnya dipengaruhi sentimen nasional, ‘setting’ PRN memberi ruang kepada BN memanfaatkan kelebihan sebagai kerajaan negeri tanpa terlalu dibebani persepsi terhadap kerajaan Persekutuan,” menurut laporan itu.

Dalam masa sama, Perikatan Nasional (PN) dilihat gagal mengekalkan momentum yang pernah dibina pada PRU15 apabila berdepan kemelut dalaman melibatkan hubungan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kajian itu menyatakan kekeliruan mengenai hala tuju gabungan serta kegagalan menampilkan naratif kempen yang jelas telah melemahkan keyakinan pengundi terhadap PN sebagai alternatif kepada BN.

Malah, sebahagian penyokong PAS di beberapa kawasan majoriti Melayu dilaporkan cenderung memberi sokongan taktikal kepada BN berbanding terus mempertahankan PN.

Sementara itu, cabaran terbesar Pakatan Harapan (PH) dijangka tertumpu kepada usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina di kawasan bandar dan separa bandar.

Walaupun sebahagian besar pengundi Cina masih melihat PH sebagai pilihan, tahap keterujaan untuk keluar mengundi didapati lebih rendah berbanding ketika PRU15.

ILHAM Centre menganggarkan PH memerlukan sekurang-kurangnya 65 peratus kadar keluar mengundi bagi mengekalkan kelebihan di kerusi bandar dan separa bandar.

Bagi kelompok pengundi muda yang membentuk kira-kira 48 peratus daripada keseluruhan pengundi, kajian mendapati mereka kini lebih bersifat candidate centric, dengan memberi penilaian kepada personaliti, rekod perkhidmatan dan keterlihatan calon berbanding faktor parti.

Kumpulan itu juga dikenal pasti sebagai late decider yang lazimnya hanya membuat keputusan pada penghujung tempoh berkempen selepas menilai prestasi calon, perkembangan media sosial dan pandangan rakan sebaya.

Kajian lapangan ILHAM Centre dijalankan dari 26 Jun hingga 9 Julai menggunakan gabungan kaedah kuantitatif melalui soal selidik bersemuka dan temu bual separa berstruktur, selain pendekatan kualitatif menerusi perbincangan kumpulan fokus (FGD) serta temu bual mendalam.

Selain mengunjurkan kemenangan BN di 39 kerusi dan PH di sembilan kerusi, ILHAM Centre turut mengenal pasti lapan kerusi masih berada dalam kategori sengit iaitu Tenang, Tangkak, Maharani, Layang-Layang, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Kota Iskandar dan Bukit Batu.

Menurut kajian itu, keputusan di kerusi berkenaan dijangka dipengaruhi oleh kadar keluar mengundi, hala tuju sokongan penyokong PN serta kira-kira 17 peratus pengundi yang masih belum membuat keputusan.

BBerkaitan

Latest articles