JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan Pakatan Harapan (PH) tidak wajar tampil dengan pelbagai tawaran baharu kepada rakyat selagi beberapa janji yang pernah dibuat sebelum ini masih belum ditunaikan.
Menurut beliau, mengemukakan manifesto baharu bukanlah sesuatu yang sukar, namun cabaran sebenar adalah memastikan setiap janji yang ditawarkan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, rakyat kini semakin bijak menilai keikhlasan sesebuah kerajaan berdasarkan rekod pencapaian, bukannya sekadar janji ketika kempen pilihan raya.
“Daripada bercakap mengenai manifesto baharu, lebih baik kerajaan PH jelaskan kepada rakyat Johor bila projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) akan dimulakan kerana ia sudah diumumkan sejak dua atau tiga tahun lalu.
“Begitu juga dengan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) dan isu kekurangan doktor, jururawat serta kakitangan di Hospital Pasir Gudang. Sebelum ini mereka berjanji masalah itu akan diselesaikan sepenuhnya menjelang Jun, namun sehingga hari ini ia masih belum menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra bersama penduduk Pangsapuri Bukit Saujana, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed serta calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, P. Pannir Selvam.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, kegagalan memenuhi janji terdahulu menyebabkan rakyat semakin sukar mempercayai sebarang tawaran baharu yang dikemukakan.
Mengulas manifesto BN yang dilancarkan pada 26 Jun lalu, beliau menjelaskan dokumen itu bukan sekadar mengandungi janji pilihan raya, sebaliknya meneruskan agenda pembangunan menerusi enam teras Maju Johor yang diperkenalkan sejak 2022.
Katanya, manifesto berkenaan memberi penekanan kepada kesinambungan pelbagai inisiatif sedia ada termasuk aspek pemilikan rumah, pembangunan belia serta pelaksanaan Bantuan Kasih Johor.
Pada masa sama, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu mendakwa sesetengah parti politik berdepan kesukaran membentangkan manifesto kerana kebanyakan tawaran yang dibuat hanya bersifat janji manis tanpa pelan pelaksanaan yang jelas.
Mengulas perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau berkata BN akan terus mengutamakan keharmonian dan memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana yang matang serta aman.
“Kami sedar BN bukan kerajaan pada peringkat Persekutuan dan berada dalam kedudukan sebagai ‘underdog’. Sebab itu kami akan terus bekerja keras, turun padang dan mendekati seramai mungkin rakyat Johor sepanjang tempoh kempen ini,” katanya.










