JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mendakwa campur tangan pemimpin berpengaruh atau “warlord” dalam DAP mungkin menjadi faktor di sebalik polemik pemilihan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, cadangan Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching supaya penyandang DUN Skudai, Marina Ibrahim, bertanding di DUN Tiram bukanlah didorong niat jahat, sebaliknya dipercayai berkait dengan tekanan dalaman parti dan pihak tertentu yang dikatakan mahu menguasai kerusi tersebut.
Ong berkata beliau mengesyaki terdapat individu berpengaruh di kawasan Skudai atau Iskandar Puteri yang mahu melihat kerusi berkenaan diberikan kepada diri mereka sendiri atau individu yang rapat dengan mereka.
Dalam masa sama, beliau mendedahkan Marina sebenarnya bukan pilihan asal untuk bertanding di Skudai.
Menurutnya, perancangan awal DAP adalah menempatkan Syahredzan Johan di Parlimen Iskandar Puteri bagi menggantikan veteran parti, Lim Kit Siang.
Namun, apabila beliau memutuskan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Bangi, peluang untuk meletakkan Marina di Skudai terbuka.
Pada 31 Mei lalu, Marina mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2022 serta memilih untuk berundur daripada politik.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan individu terdekat dan mahu kembali memberi tumpuan kepada kerja-kerja kemasyarakatan.
Sehari selepas pengumuman tersebut, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada mandat baharu rakyat.
Mengulas lanjut, Ong memuji tindakan Marina yang disifatkannya sebagai keputusan berprinsip kerana memilih berundur secara terhormat tanpa meletakkan kepimpinan parti dalam situasi sukar.
Beliau turut mempertahankan tawaran jawatan dalam lembaga berkanun kepada Marina selepas tidak dicalonkan, sambil menjelaskan amalan itu lazim dilakukan bagi memastikan pemimpin yang berpotensi terus berkhidmat kepada masyarakat dalam kapasiti lain.
Sebagai contoh, beliau merujuk pelantikan Sheikh Omar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia serta Ean Yong Hian Wah sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang selepas masing-masing tidak bertanding atau tewas dalam pilihan raya.
Ong turut mengakhiri kenyataannya dengan mengucapkan selamat maju jaya kepada Marina dan berharap beliau dapat terus menyumbang kepada rakyat Johor melalui peranan lain pada masa hadapan.










