KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan komitmennya untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung kontroversi pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian mengambil serius siasatan yang sedang dijalankan susulan dakwaan berlaku ketirisan dan penyelewengan dalam urusan melibatkan tiga gajah berkenaan yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK).
Menurut beliau, NRES kekal berpegang kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan undang-undang dalam setiap urusan berkaitan pengurusan serta pemuliharaan hidupan liar negara.
“NRES akan memberikan kerjasama penuh dan menyeluruh kepada pihak berkuasa bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara telus, adil dan menyeluruh sehingga selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arthur turut menegaskan kementerian tidak akan melindungi mana-mana individu atau pihak sekiranya siasatan mendapati wujud unsur salah laku, penyelewengan atau pelanggaran prosedur dalam proses pemindahan haiwan berkenaan.
Beliau berkata, sebarang tindakan yang menjejaskan integriti institusi kerajaan perlu ditangani dengan tegas demi mempertahankan kredibiliti negara serta memastikan kepercayaan masyarakat terus terpelihara.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan atau menyalahgunakan kuasa. Integriti institusi dan imej negara mesti dipertahankan,” katanya.
Semalam, SPRM mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka berhubung isu pemindahan DAK selepas menerima dakwaan berkaitan ketirisan dan penyelewengan dalam urusan tersebut.
Terdahulu, pada 18 Jun lalu, Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap proses pemindahan tiga gajah berkenaan.
Pertubuhan itu turut mendakwa terdapat bayaran yang dikaitkan dengan urusan pemindahan tersebut tidak disalurkan kepada kerajaan, selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta.










