NGO Juga Dialu-alukan Bekerjasama Dengan UMNO Untuk Penyatuan Melayu

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu parti itu terus unggul menjadi juara menyatupadukan semua orang Melayu di negara ini.

Malah seruan itu bukan sahaja terhad kepada UMNO dan parti-parti Melayu di negara ini.

Sebaliknya Ismail Sabri Yaakob turut mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu supaya menjadi ahli bersekutu UMNO.

“Barulah peranan UMNO untuk menyatupadukan dapat dirasai dan dapat dilihat jelas,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera hari ini.

Perdana Menteri turut meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan yang membawa kepada perpecahan kaum.

“Apa yang menjadi hala tuju UMNO adalah penyatuan sama ada melalui parti ataupun bukan.

“Saya juga melihat, kesepakatan yang wujud bukan hanya dalam UMNO malah dengan parti komponen yang ada dalam Barisan Nasional iaitu MCA dan MIC,” katanya.

Mengulas mengenai Muafakat Nasional (MN), Ismail memaklumkan Parlimen Bera merupakan antara bahagian paling awal menunjukkan kesepakatan di peringkat akar umbi terhadap kerjasama berkenaan.

“Kita wujudkan jawatan kuasa bersama, walaupun keadaan hubungan agak kurang berbanding pada awal-awal dulu, tetapi di Bahagian Bera, kita masih bersama-sama MN, bersama PAS.

“Walaupun di peringkat tertinggi, kadang-kadang kita lihat kenyataan-kenyataan akhbar yang agak keras di antara kedua-dua pihak kepimpinan tertinggi parti tetapi ia tidak merosakkan hubungan kita di peringkat Bahagian Bera,” katanya.

Meskipun MN di peringkat nasional menunjukkan beberapa masalah, namun Ismail Sabri percaya komitmen UMNO dan PAS di di peringkat Bahagian masih dilaksanakan.

“Hubungan cawangan saya pasti tidak berpecah. Saya berharap hubungan sesama kita di dalam UMNO terus kekal berpadu seperti ini.

“Hubungan UMNO dengan parti komponen diperkukuhkan, begitu juga dengan Pas di dalam MN dikekalkan di Bera ini walaupun berlaku sebaliknya di tempat lain,” ujarnya.

Latest articles

Related articles

spot_img