Najib: “Saya Satu-Satunya ‘Pengubah Wang Haram’ Pulangkan Semula RM2.8 Bilion”

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyindir bahawa beliau mungkin satu-satunya ahli politik dalam sejarah dunia yang “memulangkan semula wang suapan” selepas mendapat kelulusan rasmi Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika merujuk kepada pemulangan dana berjumlah AS$620 juta (kira-kira RM2.8 bilion) yang pernah dimasukkan ke dalam akaunnya, namun kemudian dipulangkan semula kepada akaun asal selepas dimaklumkan kepada pihak berkuasa kewangan.

“Saya menulis kepada Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, untuk memaklumkan pemulangan dana tersebut. Saya serahkan kembali wang itu kerana ia tidak lagi diperlukan.

“Barangkali saya juga yang pertama dalam sejarah yang memberi notis rasmi kepada Gabenor Bank Negara tentang pemulangan wang yang dikatakan ‘haram’,” katanya.

Najib berkata demikian ketika membaca kenyataan pengantar sebelum pasukan pembelaan memulakan penghujahan lisan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Beliau kini berdepan empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama, didakwa dilakukan antara 2011 hingga 2014.

Najib turut menegaskan bahawa keseluruhan kes pendakwaan terhadapnya banyak bergantung kepada keterangan ‘dengar cakap’ tanpa bukti kukuh atau saksi utama.

“Pendakwaan tidak memenuhi prasyarat asas penerimaan bukti. Tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan untuk mencari saksi penting, termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low,” katanya.

Tambahnya, setakat rekod yang ada, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak pernah membuktikan sebarang percubaan mengesan individu terbabit sebelum mahkamah diminta membuat penentuan bahawa mereka “tidak dapat ditemukan”.

Perbicaraan yang dikendalikan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kini mendengar penghujahan lisan penuh oleh pihak pembelaan.

BBerkaitan

Latest articles