KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh terdekat berhubung siasatan ke atas kewangan parti itu.
SPRM yang mengesahkan perkara itu seperti yang dilaporkan New Straits Times.
“Muhyiddin akan dipanggil bagi dirakam kenyataan mengenai dakwaan RM300 juta yang diterima parti terbabit sebagai dana politik daripada kontraktor yang dianugerahkan projek ketika pentadbirannya,” kata sumber suruhanjaya berkenaan.
Sumber terbabit turut mengesahkan dua akaun bank milik BERSATU dengan jumlah baki RM40 juta sudah dibekukan SPRM.
Bukan sahaja Muhyiddin, beberapa pemimpin Bersatu juga sudah dipanggil untuk direkod kenyataan, termasuk bendahari parti terbabit.
“Hasil pemeriksaan menunjukkan semua penyumbang kepada parti terbabit adalah kontraktor yang menerima kontrak kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin,” katanya.
Dilaporkan kontraktor terbabit dikenal pasti selepas SPRM menyiasat beberapa akaun milik Bersatu yang dibekukan hujung bulan lalu.
Bersatu sebelum ini dilaporkan menerima hingga RM300 juta daripada kontraktor berkenaan sebagai dana politik susulan persetujuan dibuat dengan beberapa pemimpin parti, termasuk mereka yang berkhidmat di bawah pentadbiran Muhyiddin ketika itu.
Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin Bersatu dan pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM untuk dirakamkan kenyataan.
Sebelum itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata SPRM sudah membekukan beberapa akaun milik parti itu, baru-baru ini.
Beliau mendakwa pembekuan akaun itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.