KUALA LUMPUR: Audit forensik secara menyeluruh terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilaksanakan segera dan diselesaikan dalam tempoh setahun bagi merungkai dakwaan kerugian serta kemerosotan nilai aset institusi itu.
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, audit bebas dan berterusan itu penting bagi menjejaki aliran dana serta mengenal pasti sama ada berlaku penipuan, salah guna kuasa atau kecuaian dalam pengurusan pelaburan TH.
Menurutnya, kelemahan tadbir urus dan kemungkinan berlaku ketirisan yang kompleks tidak boleh dibiarkan tanpa siasatan menyeluruh, terutama jika ia mengakibatkan kerugian kepada dana pendeposit.
“Semua pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dana TH, sama ada melalui penipuan, salah guna kuasa atau kecuaian, mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika membahaskan sidang khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH, hari ini.
Muhyiddin berkata, laporan RCI berkaitan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 turut mendedahkan kewujudan transaksi mencurigakan serta kemungkinan penyembunyian maklumat dalam beberapa keputusan pelaburan terdahulu.
Katanya, sebanyak 14 entiti dan pelaburan bermasalah turut dikenal pasti untuk menjalani audit forensik, termasuk PT TH Indo Plantations, Emrail Sdn Bhd, Wellspring Worldwide Limited, Deru Semangat Sdn Bhd, Trurich Resources Sdn Bhd dan Abraj Sdn Bhd.
Lebih membimbangkan, katanya, kerugian yang dialami TH didakwa diselindungkan menerusi amalan ‘creative accounting’ sehingga institusi berkenaan pada ketika itu masih dilaporkan mencatatkan keuntungan.
“Sedangkan hakikatnya, sebagaimana ditunjukkan dalam laporan RCI, TH rugi berbilion ringgit,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mempersoalkan pemberian sijil audit bersih kepada TH oleh Ketua Audit Negara berdasarkan laporan berkenaan.
Beliau pada masa sama menggesa syor RCI berkaitan pelantikan anggota politik atau individu yang mempunyai kepentingan politik aktif ke dalam Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi TH dihentikan.
Menurutnya, pelantikan ke jawatan berkenaan perlu dibuat berdasarkan merit dan profesionalisme bagi memastikan keputusan pelaburan serta pengurusan dana pendeposit tidak dipengaruhi kepentingan politik.
“Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi TH termasuk anak syarikat hendaklah berasaskan merit, integriti, kelayakan profesional serta pengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, pelaburan, undang-undang dan syariah,” katanya.










