Muhyiddin Diktator, Laksana Darurat Kerana Mahu Berkuasa, Dakwa Tun M

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang diktator, kerana menguatkuasakan darurat bagi membolehkan Perdana Menteri itu terus berkuasa.

Ujarnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencukupi, namum beliau menambah bahawa Muhyiddin tetap memilih untuk melaksanakan darurat kerana terdesak untuk mengekalkan kuasanya.

“Kita mengorbankan demokrasi untuk berikan beliau kuasa penuh… buat apa beliau suka. Beliau dalam erti kata sebegitu adalah seorang diktator.

“Ia sejenis pemerintahan diktator di mana rakyat tidak boleh bantah dan kita tidak mengikut demokrasi dengan menggunakan darurat untuk beri Muhyiddin kuasa penuh,” katanya menerusi temu bual bersama stesen radio BFM pada semalam.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, keadaan negara akibat penularan pandemik COVID-19 masih terkawal tidak seperti di negara luar dan menegaskan tiada keperluan mengisytiharkan darurat kerana Malaysia ada undang-undang tersendiri untuk mengawal pandemik.

Tegasnya, di negara lain ada yang rakyatnya melakukan protes bagi membantah keputusan kerajaan namun di Malaysia, keadaannya berbeza dan rakyat patuh kepada arahan kerajaan.

“Walaupun Muhyiddin ada kuasa mutlak, beliau tidak melakukan secukupnya untuk membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan pandemik ini.

“Beliau tidak buat apa sangat dalam mentadbir negara. Ekonomi merosot dan rakyat merana akibat tindakan yang dilaksanakan. PKP menjejaskan rakyat dengan hilang pendapatan dan ramai yang tidak ada makanan,” ujarnya.

Terdahulu pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan permohonan Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat hingga 1 Ogos 2021.

Pengisytiharan itu menyebabkan semua persidangan Parlimen dan DUN digantung hingga Ogos.

Pada Isnin, kerajaan mengumumkan PKP sekali lagi di enam negeri – Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – dari 13 hingga 26 Januari.

Sementara PKP Bersyarat (PKPB) pula dikuatkuasakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan sementara Perlis dan Sarawak, kekal dalam fasa PKP Pemulihan (PKPP).

BBerkaitan

Latest articles