MELAKA: Potensi gaharu tempatan sebagai bahan asas produk bernilai tinggi terus diteroka apabila Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) memperkenalkan produk wangian berasaskan gaharu buat pertama kali menerusi inisiatif mempromosikan industri berkenaan.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri MTIB, Nor Shahira Mat Nasir berkata, penghasilan wangian itu bertujuan memperkenalkan keunikan gaharu Malaysia, selain membuka peluang kepada pekebun kecil meningkatkan nilai tambah hasil tanaman pokok karas.
Menurutnya, gaharu mempunyai potensi komersial yang besar untuk dikembangkan dalam industri wangian, khususnya berdasarkan permintaan terhadap produk berasaskan bahan semula jadi itu.
Beliau berkata, MTIB mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk membangunkan formulasi wangian berkenaan yang menggabungkan tiga aroma utama iaitu Turkish rose, sandalwood dan oud.
Katanya, gabungan aroma itu dihasilkan berdasarkan pilihan bau Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, bagi menghasilkan wangian dengan karakter tersendiri.
“Gabungan bahan itu menghasilkan wangian yang unik dan istimewa,” katanya selepas pelancaran produk berkenaan sempena Festival Usahawan Agrikomoditi 2026 di Banda Hilir, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan wangian itu bukan untuk tujuan jualan komersial, sebaliknya dihasilkan sebagai cenderamata korporat bagi mempromosikan penggunaan gaharu tempatan dalam industri produk hiliran.
Dalam perkembangan sama, Nor Shahira berkata MTIB turut membawa 12 vendor dan usahawan berasaskan gaharu menyertai festival berkenaan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Antara produk yang diketengahkan termasuk minyak wangi, produk aromaterapi dan kesihatan bagi memperluas pendedahan masyarakat terhadap kepelbagaian kegunaan gaharu serta potensi ekonominya.
Usaha itu dijangka membantu memperkenalkan lebih banyak produk hiliran berasaskan gaharu, sekali gus membuka ruang kepada pengusaha tempatan meneroka peluang pasaran yang lebih luas.










