MOF Tepis Dakwaan Kononnya Penjualan Saham MAHB Rugi

PARLIMEN — Kementerian Kewangan (MOF) menepis dakwaan kononnya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian daripada penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan dakwaan itu adalah tidak berasas dan mengelirukan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, penjualan saham MAHB pada tahun 2023 adalah sebahagian daripada strategi dagangan aktif KWSP untuk memanfaatkan pergerakan harga saham dan menjana pendapatan pelaburan jangka pendek.

“Dakwaan bahawa KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini tidak berasas. KWSP sendiri telah menafikan tuduhan ini melalui kenyataan rasmi pada 12 Februari 2025,” tegas Amir Hamzah.

Beliau menjelaskan bahawa saham MAHB telah dijual pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit, menghasilkan pendapatan sebanyak RM102 juta. Keuntungan ini telah menyumbang kepada agihan dividen KWSP sebanyak 5.5% bagi simpanan konvensional dan 5.4% bagi simpanan syariah untuk tahun 2023.

Beliau yang menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin ketika sesi Soal Jawab Menteri ( MQT)di Parlimen itu berkata KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023, susulan penjualan saham MAHB.

“Prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi ini. Keputusan penjualan diambil berdasarkan peluang pasaran yang menguntungkan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan KWSP pada tahun kewangan tersebut,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa KWSP mengamalkan tadbir urus yang ketat melalui protokol Chinese Wall, yang memastikan pemisahan maklumat dalaman antara jabatan bagi mengelakkan sebarang percanggahan kepentingan atau risiko insider trading.

“KWSP adalah institusi pelaburan terbesar negara yang sentiasa mengutamakan integriti dan kepentingan pencarum. Sebarang dakwaan yang tidak berasas boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan kepercayaan terhadap institusi ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, kawalan dalaman ketat yang diwujudkan dan dipraktikkan dengan penuh integriti oleh KWSP menyumbang kepada keteguhannya sebagai institusi pelaburan yang disegani sepanjang hampir 75 tahun penubuhannya.

Sebagai institusi pelabur terbesar di Malaysia, beliau berkata, KWSP mengambil berat peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan.

“Sebarang tindakan tidak wajar oleh KWSP bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi dan kedudukannya, malah boleh menjejaskan prestasi pasaran kewangan negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles