Misi Cari Jaslinda Diperketat, JBPM Saring Sukarelawan Sebelum Sertai Operasi

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menetapkan syarat lebih ketat kepada mana-mana individu atau kumpulan yang ingin membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, dengan setiap penyertaan perlu melalui proses permohonan dan saringan terlebih dahulu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarozi Nor Ahmad berkata langkah itu penting bagi memastikan aspek keselamatan, penyelarasan operasi serta keberkesanan pencarian terus terpelihara.

Menurutnya, semua pihak yang berhasrat menyertai misi pencarian berskala kecil itu perlu melaporkan diri di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah sebelum dibenarkan memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal, tertakluk kepada kelulusan Jabatan Perhutanan.

Katanya, JBPM akan menilai setiap permohonan berdasarkan tahap kecergasan fizikal, pengalaman mendaki, kompetensi serta kepakaran yang dimiliki calon sukarelawan.

“Selain proses saringan, pihak bomba juga akan memberikan taklimat berkaitan sektor pencarian dan memastikan peralatan yang dibawa sesuai dengan objektif operasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan Gunung Batu Putih kini ditutup sementara kepada orang awam untuk aktiviti rekreasi berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perhutanan Perak.

Dalam perkembangan sama, Sabarozi berkata operasi SAR kini diteruskan secara lebih terfokus selepas Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup semalam. Operasi hanya melibatkan anggota bomba, malim gunung dan komuniti Orang Asli setempat yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai kawasan berkenaan.

Menurutnya, JBPM akan terus memberikan sokongan berdasarkan sebarang petunjuk atau maklumat baharu yang diterima dari semasa ke semasa.

“Setakat hari ini, lapan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Perak bersama dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) masih berada di lapangan menjalankan pencarian dan dijangka keluar dari kawasan operasi petang ini,” katanya.

Semalam, beliau memaklumkan operasi SAR terhadap Jaslinda Saludin, 49, akan diteruskan menggunakan pendekatan lebih bersasar dengan memberi tumpuan kepada maklumat serta petunjuk baharu yang diperoleh.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai ekspedisi bersama 13 pendaki lain dan dua malim gunung melalui laluan Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu.

Ketika pendakian, beliau dan seorang lagi peserta, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti seketika.

Bagaimanapun, Jaslinda yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei lalu.

Sejak itu, pelbagai usaha pencarian telah digerakkan bagi menjejaki wanita berkenaan, namun sehingga kini keberadaannya masih belum dapat dipastikan.

BBerkaitan

Latest articles