KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi percaya pihak yang mendesak jawatan nombor satu dan kedua parti dipertandingkan kerana mereka ingin menjadi menteri.
Beliau mengimbau bagaimana puak berkenaan yang lari menyelamatkan diri semasa parti kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Ini kerana mereka takut diheret ke mahkamah dan dipenjara semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun mereka muncul selepas UMNO menjadi kerajaan kerana tahu tidak akan didakwa di bawah pentadbiran sekarang.
“Mereka takut didakwa dan dipenjara. Mereka tahu Tun M akan balas dendam. Mereka sudah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia. Semua menjauhkan diri dari UMNO, Najib dan Zahid. Takut terpalit.
“Sekarang mereka timbul balik. Mereka teringin untuk bertanding. Kenapa? Kerana UMNO parti dalam kerajaan. Mana mungkin UMNO akan mendakwa mereka. Hipokrit betul.
“Mereka juga teringin kerana kalau menang, mereka secara automatik akan jadi menteri. Sudah ada yang bersuara, kalau menang, dia kekal sokong Anwar sebagai PM,” kata Puad.
Tambah Puad, naratif No Anwar no DAP yang dijaja oleh setengah-setengah pihak dalam UMNO hanya bertujuan untuk menjatuhkan kedudukan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.
Menurutnya, isu mengenai pendirian yang diambil oleh parti itu tahun lalu telah basi dan ‘dimatikan’ pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu lalu.
“Tetapi puak desperado ini memang konsisten. Iaitu konsisten melawan keputusan parti. Pastinya mereka terus membising walaupun perwakilan sudah buat keputusan.
“Sebab itu ada yang turut viralkan komen P. Ramasamy yang ahli DAP sendiri tolak. Semua komen komen negatif oleh ahli akademik dan media portal turut disebarkan,” kata Puad.
Beliau turut menafikan perpecahan UMNO semakin dalam berikutan keputusan parti untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.
Puad berkata, perpecahan UMNO hanya parah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 apabila parti itu tewas.
“Puak yang takut didakwa ini buat grup sendiri. Ada yang jadi katak. Ada yang bersembunyi. Puak desperado ini menyusahkan parti selama lima tahun. Mereka tidak ikut keputusan parti. Jadi duri dalam daging. Keputusan PAU 2022 mengabsahkan gelagat mereka telah ditolak.
“Ia mendedahkan secara terbuka siapa kuncu kuncu mereka. Kali ini mereka tersisih. Mereka tambah sukar untuk menguasai parti dan guna parti untuk agenda peribadi,” katanya dalam kenyataan.
Puad menegaskan, keputusan PAU Sabtu lalu dan kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan akan beri nafas kepada UMNO untuk membina balik kekuatan.
Kedua-dua faktor itu juga membolehkan Ahmad Zahid melaksanakan hala tuju baru UMNO.