Alasan Lawat Kakak Hidap Kanser Di Australia, Muhyiddin Dapat Pasport Sementara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara untuk membolehkan beliau melawat kakaknya yang menghidap kanser di Australia.

Hakim Azura Alwi membenarkan pasport diserahkan kepada Pengerusi Bersatu itu menerusi peguamnya, selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

“Pasport akan diserahkan kepada wakil peguam Tang Jia Yearn hari ini dan diserahkan kembali kepada mahkamah pada 28 Mei melalui beliau (Tang),” katanya.

Terdahulu peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memohon pasport Muhyiddin dikembalikan sementara kerana anak guamnya akan bertolak ke Australia pada 12 Mei untuk melawat kakaknya berusia 82 tahun yang menghidap kanser.

“Pemohon (Muhyiddin) akan pulang ke Malaysia pada 25 Mei, oleh itu pasport akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 28 Mei.

“Saya mohon pasport diserahkan kepada peguam yang mewakili pemohon, iaitu Tang Jia Yearn dan beliau (Tang) juga yang akan memulangkannya semula kepada mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad berkata, pihaknya tidak membantah permohonan itu memandangkan alasan yang dikemukakan dalam afidavit adalah munasabah.

Pada prosiding sama, Hisyam memohon prosiding kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi presiden Bersatu itu ditangguhkan, sementara menunggu permohonan semakan keputusan oleh panel hakim sebelum ini, yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 9 Julai ini, diputuskan.

“Pihak kami memfailkan permohonan penangguhan itu semalam dan memohon permohonan itu didengar terlebih dahulu,” kata peguam itu.

Nor Asma berkata, pihaknya menerima notis permohonan itu menerusi emel semalam dan akan memfailkan afidavit bantahan.

“Saya mohon permohonan untuk empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram dibicarakan bersama didengar terlebih dahulu,” katanya.

Azura kemudian menetapkan 13 Jun untuk mendengar permohonan penangguhan itu.

Muhyiddin, 76, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin juga berdepan dua tuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM195 juta daripada sebuah syarikat, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu, antara 25 Feb dan 16 Julai 2021, serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Beliau juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lepas atas tuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM5 juta. Kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. – FMT

BBerkaitan

Latest articles