MBIP Sita, Tutup Premis Network School District Forest City

ISKANDAR PUTERI: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada Rabu mengambil tindakan menutup dan menyita salah sebuah premis milik NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City selepas menyerahkan Notis Perintah Penutupan Premis kepada pengendali terbabit.

Operasi penguatkuasaan bermula kira-kira jam 11.30 pagi apabila anggota penguat kuasa MBIP hadir ke lokasi bagi menyampaikan notis berkenaan sebelum meneruskan tindakan penutupan dan penyitaan premis.

Premis itu kemudian dipasang pita penghalang berwarna kuning dengan logo MBIP, selain Notis Perintah Penutupan Premis yang mula berkuat kuasa pada jam 11.45 pagi.

Menurut notis berkenaan, tindakan itu dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil 49(2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018.

Tinjauan di lokasi mendapati suasana di sekitar premis lengang, manakala papan tanda Network School telah ditanggalkan. Petugas media pula mula berkumpul di luar kawasan premis seawal jam 10 pagi bagi mengikuti perkembangan operasi berkenaan.

Difahamkan, MBIP dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi memperincikan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap syarikat itu.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijadual mengadakan sidang media di Bangunan Dato’ Jaafar, Kota Iskandar pada jam 2.30 petang bagi mengulas isu membabitkan Network School.

Pada Selasa, MBIP mengumumkan pembatalan lesen perniagaan Network School selepas Mesyuarat Penuh Khas pihak berkuasa tempatan itu meneliti laporan pemeriksaan, hasil penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan syarikat.

MBIP memaklumkan premis di P-01-11, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5 didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, sekali gus menyebabkan Notis Henti Niaga dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil 3(1) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018.

Bagi sebuah lagi premis di P-01-12, Teluk Bintang, lesen premis perniagaan serta lesen iklan dibatalkan selepas siasatan mendapati syarikat menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan kelulusan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Tindakan MBIP itu dibuat ketika Network School terus menjadi perhatian susulan dakwaan penyertaan warga Israel dalam komuniti digital nomad berkenaan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan siasatan daripada pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles