Hamzah Dedah Surat RoS, Dakwa Keputusan Batal Pendaftaran PN Bercanggah

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendedahkan beberapa surat berkaitan isu pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang didakwa menunjukkan percanggahan pendirian Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Hamzah berkata, tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober menimbulkan persoalan apabila keputusan itu dibuat sebelum Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan kehakiman gabungan berkenaan pada 22 Oktober ini.

Menurutnya, surat RoS bertarikh 6 Oktober lalu menyatakan isu yang dibangkitkan PN akan dijawab di mahkamah menerusi prosiding semakan kehakiman.

Beliau berkata, selepas Mahkamah Tinggi menetapkan pendengaran secara dua pihak (inter partes) pada 22 Oktober, PN turut menghantar surat kepada RoS pada 14 Oktober bagi meminta supaya tiada tindakan diambil sebelum prosiding itu berlangsung.

Bagaimanapun, dakwanya, surat berkenaan tidak dijawab oleh RoS.

“Sehari sebelum perintah pembatalan dikeluarkan, iaitu pada 19 Oktober, pihak Peguam Negara sendiri menyatakan dalam hujahan kepada mahkamah bahawa proses pembatalan masih berjalan.

“Namun, RoS tetap membatalkan pendaftaran PN dua hari sebelum Mahkamah Tinggi bersidang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hamzah turut mempersoalkan tindakan RoS berhubung tafsiran Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang didakwanya berbeza ketika menangani aduan melibatkan Bersatu dan PN.

Katanya, ketika empat Ahli Parlimen Bersatu mengemukakan aduan berhubung kuorum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu pada 13 Julai lalu, RoS menerusi surat bertarikh 16 Julai menyatakan keputusan parti politik berkaitan urusan dalamannya adalah muktamad.

Menurutnya, RoS ketika itu menyerahkan perkara berkenaan untuk diputuskan secara dalaman berdasarkan perlembagaan parti dan menegaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan.

Namun, beliau mendakwa pendekatan berbeza digunakan apabila RoS menangani aduan terhadap PN apabila jabatan itu mentafsir sendiri Fasal 7.1 Perlembagaan PN sebelum memutuskan pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.

“Undang-undang yang sama, jabatan yang sama, tetapi tafsiran yang berbeza mengikut pihak yang terlibat,” katanya.

Hamzah menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan serius yang boleh memberi kesan kepada PN, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan penamaan calon dijadualkan pada 31 Oktober ini.

Beliau turut mendakwa pembatalan berkenaan berpotensi menjejaskan hak demokrasi pengundi dan mempersoalkan alasan penolakan penjelasan PN oleh RoS.

Sehubungan itu, Hamzah menegaskan Parti Wawasan Negara menolak keputusan berkenaan dan akan terus menyokong usaha membawa perkara itu melalui saluran undang-undang.

Katanya, tindakan undang-undang akan diteruskan, termasuk prosiding di Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober ini, selaras dengan pendirian yang dinyatakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau turut menyeru ahli dan penyokong supaya kekal tenang serta mematuhi undang-undang, sambil menegaskan parti-parti yang sehaluan dengan PN akan tetap menghadapi PRN Melaka dengan strategi masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles